Meniti Kaca merupakan novel buah tangan Raja Sabarudin Raja Abdullah, seorang bekas pendidik. Novel tersebut yang telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, diangkat sebagai novel Komponen Sastera ataupun KOMSAS Tingkatan 1 dari tahun 2000 hingga 2009. Secara keseluruhannya, novel ini mengisahkan tentang kehidupan remaja yang mendepani pelbagai konflik kekeluargaan.
Masyarakat yang terlibat ialah masyarakat desa yang masih mengamalkan amalan rukun sesama penduduk tanpa mengira bangsa. Tunjang novel Meniti Kaca ialah seorang remaja bernama Nazar dan turut dibantu oleh watak-watak sampingan yang lain. Penulis turut menggunakan pelbagai teknik penulisan bagi menambah lagi daya tarikan terhadap novel tersebut. Oleh hal yang sedemikian, novel Meniti Kaca dilihat sebagai sebuah novel remaja yang mesra pembaca namun memiliki rencam pemikiran dan mesej yang boleh dijadikan panduan dalam hidup pelajar.
Sinopsis
Nazar merupakan anak tunggal kepada pasangan Pak Sahar dan Mahyun. Pada suatu hari ketika Nazar pulang dari sekolah, ibunya tiada di rumah. Dia mencari ibunya yang suka merayau-rayau di sekitar kampung. Nazar telah menjumpai ibunya dengan bantuan kawan baiknya, Ah Seong dan ibunya Kim Moi. Menerusi nasihat orang sekeliling, akibat Nazar, Pak Sahar telah menghantar Mahyun ke Hospital Bahagia. Pak Sehak dan Mak Miah mencadangkan kepada Pak Sahar agar dia berkahwin lagi. Namun, Pak Sahar enggan. Menjelang pertengahan Oktober, menerusi permintaan Nazar, Mahyun telah dibawa pulang daripada Hospital Bahagia. Namun setelah beberapa hari, Mahyun didapati hilang dan akhirnya ditemui mati secara tragis.
Kisah dalam novel ini turut menyelitkan hubungan persaudaraan Nazar dan Zainab iaitu sepupunya yang muda setahun. Nazar bersama-sama Zainab belajar bersungguh-sungguh sebelum menjelang peperiksaan, namun penduduk kampung telah memfitnah mereka. Akhirnya, Nazar berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan lalu dihantar ke Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh. Pada suatu malam, Nazar dikejutkan oleh warden dan diberitahu bahawa ayahnya telah dimasukan ke hospital. Setelah kehilangan ibu yang tersayang, tragis hidup Nazar bertambah apabila ayahnya telah meninggal dunia sebelum sempat Nazar sampai di hospital. Bertitik tolak daripada itu, Nazar berazam untuk mengubah nasib orang sepertinya dan akhirnya mencapai cita-citanya iaitu menjadi seorang doktor.
Pemikiran dalam Novel Meniti Kaca
Mohd Rashid Md. Idris et al. (2016) dalam Md Idris, M. R. (2019) menyatakan pemikiran sebagai subjek yang dibawakan oleh pengarang. Idea sebagai pemula, kemudian dimantapkan bersama-sama dengan imaginasi dan kreativiti untuk digarap sebagai tema dan persoalan sesuatu karya. Seterusnya, tema dan persoalan akan dikembangkan untuk menyampaikan mesej daripada pemikiran pengarang. Pemikiran dalam novel Meniti Kaca ini telah dibahagikan kepada beberapa bahagian yang lebih terperinci.
Ketabahan dan Kesabaran Dalam Menempuh Pelbagai Halangan Hidup
Berdasarkan novel Meniti Kaca, pengarang jelas mencerminkan ketabahan dan kesabaran seorang remaja dalam menempuh pelbagai rintangan dalam hidup yang akhirnya membuahkan kejayaan yang cemerlang. Hal ini dikatakan sedemikian melalui Nazar tabah menempuh ujian iaitu perlu berdepan dengan ibunya yang berpenyakit nanar dan terpaksa berpisah dengan ibunya yang dihantar ke Hospital Bahagia. Nazar tetap bersabar biarpun ibunya masih tidak sembuh setelah pulang dari hospital dan semakin gemar merayau-rayu. Meskipun ibunya hilang dan ditemui mati, Nazar tetap tabah meneruskan pembelajaran dan berjaya mendapat keputusan yang cemerlang.
Keharmonian Hidup Pelbagai Kaum
Novel ini turut mengetengahkan keharmonian hidup masyarakat yang berbilang kaum. Hal ini dibuktikan menerusi keluarga Ah Seong iaitu kawan Nazar banyak membantu keluarga Pak Sahar mendepani pelbagai masalah. Ah Seong dan ibunya, Kim Moi telah membantu Nazar untuk mencari Mahyun yang keluar merayau-rayau sehingga berjaya ditemui.
Sikap Masyarakat Menuduh Melulu
Pengarang juga merangkumkan pemikiran mengenai sikap masyarakat yang suka menuduh tanpa usul periksa. Buktinya ialah Nazar dan Zainab telah difitnah masyarakat kampung sedangkan mereka masih menjaga adab dan susila dalam bersahabat. Zainab sering menemani Nazar untuk belajar ketika menjelang PMR. Namun, penduduk kampung telah memfitnah mereka bahawa mereka melakukan perbuatan terkutuk ketika berdua.
Kasih Sayang Terhadap Ahli Keluarga
Pemikiran berkaitan kasih sayang terhadap ahli keluarga turut pengarang garapkan dalam novel ini. Buktinya, Nazar amat sayang akan ibunya dan sanggup mencari ibunya dikala hilang. Walaupun ibunya menghidap nanar, Nazar tidak sedikit pun membenci atau malu akan ibunya. Nazar juga keberatan untuk melanjutkan pelajaran ke Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh kerana terpaksa meninggalkan ayahnya keseorangan.
Secara menyeluruh, novel Meniti Kaca boleh dianggap sebagai sebuah karya yang mengesankan kerana mempunyai pemikiran yang pelbagai dan memiliki mesej pengajaran daripada pengarang. Dalam hal ini, novel Meniti Kaca memperlihatkan kepengarangan Raja Sabarudin Raja Abdullah mampu mencetuskan pemikiran berdasarkan hidup seorang remaja yang mendepani pelbagai konflik, namun akhirnya membawa kejayaan buatnya. Pemikiran yang mengetengahkan nilai dan pengajaran dalam novel ini seharusnya diperhalusi oleh pembaca dan dijadikan sebagai pedoman dalam hidup.
Pengulas,
Arif Hadri Japri
Peserta Write @ Home,
Persatuan Nastia Youth Club