“Anak puan ni tak banyak bercakap dalam kelas. Kat rumah dia macam ni juga ke?”

“Awak takde kawan ke?”

“Dia memang jenis macam tu, susah nak dengar suara dia. Pendiam dan pemalu sungguh.”

Ada sesiapa sering mendapat pertanyaan sebegini? Mesti ada, bukan? Saya sejak zaman sekolah, apabila ada Hari Terbuka (Laporan Prestasi Murid) pasti itulah pertanyaan dan komen daripada guru-guru saya kepada Mak Abah atau kakak saya yang datang berjumpa guru. Saya memang jenis pendiam dan pemalu, dan kuat merajuk juga pada zaman sekolah rendah. Ketika memasuki alam persekolahan menengah, sedikit sebanyak mulalah berani bersuara sikit, itupun ketika mula berada di Tingkatan 5 di mana saya menjadi Pengawas Koperasi.

Sehinggalah memasuki universiti, saya masih kurang keyakinan. Saya hanya ada 3 orang kawan rapat yang saya rasa benar-benar selesa untuk bersama. Saya lebih selesa bergerak sendiri, menghabiskan masa di bilik atau di perpustakaan. Sejak di Tingkatan 6, saya mula suka membaca dan membuat nota-nota kecil. Saya jenis yang belajar sendiri. Sebab itu saya lebih berdikari semasa di universiti. Bukan saya sombong, tapi saya lebih suka bergerak sendiri, lebih memudahkan. Mulut senyap, tapi otak sedang bising. Itulah saya. Di universiti, saya menyertai Persatuan Mahasiswa Islam (PMI), tetapi saya hanya aktif berusrah dan menghadiri kuliah yang diadakan. Terlibat sebagai ahli jawatankuasa Sekretariat Kerohanian Kolej Kediaman, saya lebih selesa berjawatan sebagai Setiausaha (lebih-lebih lagi sebagai pelajar yang mengambil jurusan Bahasa dan Linguistik Melayu, saya sukalah mereka ayat dalam surat rasmi).

Ya, alam universiti sangat banyak mengubah hidup saya. Bertemu dengan manusia yang pelbagai ragam. Hanya beberapa orang sahabat pada zaman persekolahan dan zaman universiti yang benar-benar saya sangat rindui hingga sekarang. Saya masih menjadi diri saya yang lebih selesa bersendirian, walaupun selepas menginjak masuk ke alam pekerjaan. Tahun pertama bertugas sebagai guru di sebuah sekolah agama swasta di Bangi, saya banyak menangis. Lagi-lagi perlu berurusan dengan manusia. Berhadapan dengan anak murid yang berperibadi seperti saya ketika zaman persekolahan, saya terikut-ikut persepsi masyarakat sekeliling yang menganggap bahawa individu pendiam ini seorang yang sukar ingin berjaya. Sebenarnya tidak. Anak yang pendiam ini mempunyai keistimewaannya tersendiri. Mulutnya tidak berbunyi tetapi sebenarnya otaknya sedang ligat berfungsi.

Selepas beberapa tahun bergelar seorang guru, baru saya mampu meresapkan perbezaan suasana yang perlu saya lalui ini. Sedikit sebanyak saya mula membina hubungan dengan orang sekeliling agar saya tidak terus kekok dalam kelompok masyarakat. Bukan bermaksud saya mengubah diri saya demi orang lain, tapi saya cuba meningkatkan diri saya berbanding diri saya yang dulu supaya saya tidak terus berasa lemah semangat. Banyak pengalaman yang saya alami yang membuatkan Introvert seperti saya ini terus termotivasi dalam mencapai impian. Kadangkala pelik dengan diri sendiri. Saya jenis yang kurang bercakap dan gugup berhadapan dengan orang, tapi saya jenis individu yang sukakan aktiviti mencabar seperti berkhemah, memasuki hutan, mendaki dan pelbagai lagi. Dan semua itu, saya harus lakukan secara berkumpulan, apabila saya memasuki alam pekerjaan. Tapi itu semua tidak mengubah diri saya menjadi seorang Extrovert.

Saya terdetik untuk menceritakan kisah ini selepas menghabiskan bacaan buku bergenre psikologi, iaitu Pendiam? karya Aiman Amri dan Aqila Masri. Saya kerap membaca artikel tentang Introvert di laman sesawang. Namun, selama pembacaan saya kebanyakan artikel tersebut seolah-olah menjadikan individu Introvert ini sebagai seorang yang agak terkebelakang berbanding individu Extrovert. Persepsi masyarakat juga sering mengatakan individu Introvert ini kebiasaannya mengalami kesukaran untuk berjaya dalam hidup. Benarkah? Saya bukanlah seorang pakar psikologi, tapi apa yang saya akan cuba kongsikan dalam perkongsian kali ini hanya secebis pengalaman sendiri, pemerhatian sendiri dan pembacaan sendiri berkaitan Introvert.

Istilah Introvert dalam Kamus Dewan (Edisi Keempat, halaman 585) menyatakan bahawa;

“Introvert merujuk kepada orang yang bersifat suka memendam rasa dan menumpukan perhatian pada dirinya sendiri, tidak suka bergaul dalam masyarakat atau dunia luar.”

Jika kita lihat kepada makna ini secara terus dan mengunci dalam minda, kita akan berpandangan bahawa individu dalam golongan ini merupakan seorang yang suka bersendirian, kera sumbang, mementingkan diri, “alone”, “lonely”…apa lagi, ya. Sebelum saya masuk pada kupasan seterusnya, saya ingin menyentuh tentang Firman Allah dalam Surah At-Tin, ayat 4;“Sungguh, Kami telah Menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya,”

Dalam ayat ini, Allah Yang Maha Khaliq (Menciptakan) telah menjadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Sangat baiknya kejadian seorang manusia. Ini bermakna setiap manusia yang dilahirkan memiliki kelebihannya. Allah tidak mencipta sesuatu yang sia-sia. Jadi, setiap daripada kita ada kelebihan dan perbezaannya. Dan itulah yang melengkapkan kita sebagai sebuah keluarga/hubungan persaudaraan itu dalam konsep ukhuwah. Dalam hidup di muka bumi ini, setiap daripada kita saling membantu antara satu sama lain. Dengan itu, kita memiliki keupayaan yang berbeza. Allahu A’lam.

Nah, jadi di sini tidak seharusnya kita meletakkan tahap kelebihan manusia menerusi istilah Introvert dan Ekstrovert ini. Bukan istilahnya yang menjadi masalah, tetapi ianya cuma pada kefahaman kita sendiri. Selepas membaca olahan dalam buku genre psikologi ini dan melihat kepada konsep Introvert dalam Kamus Dewan, saya lihat ada tersiratnya dalam maksud Introvert itu sendiri.

Saya membahagikan makna Introvert tersebut kepada 3 bahagian dan insya-Allah huraian yang saya cuba utarakan ini hanyalah hasil daripada pengalaman, pemerhatian dan pembacaan saya. Orang yang bersifat suka memendam rasa. Menumpukan perhatian pada dirinya sendiri. Tidak suka bergaul dalam masyarakat atau dunia luar.

1.Orang yang bersifat suka memendam rasa


Individu Introvert ini memang lebih suka menyimpan perasaan berbanding meluahkan. Akibat daripada sifat ini ianya boleh membawa kepada kesan baik dan sebaliknya. Yang baiknya, apabila ia menyimpan perasaan negatif seperti marah dan kecewa, mereka bimbang untuk menyatakan. Mereka bimbang untuk meluapkan. Jadi, individu Introvert ini kebanyakannya lebih bersikap tenang dan boleh kawal perasaan dengan mendiamkan diri. Apabila berasa gembira dan bahagia, mereka akan kelihatan ceria dan tersenyum sepanjang hari walaupun tanpa bercakap sepatah kata. Tetapi..akibat daripada memendam rasa itu jugalah ianya mampu mendatangkan keburukan. Sebab apa? Sebab apabila individu ini tidak meluahkan perasaannya, lama-kelamaan akan membuatkan perasaan itu berbekas dalam hati. Sampai satu tahap, mereka akan meluapkan semua perasaan itu, mungkin dengan cara marah walaupun hal remeh. Tapi tiada masalah bagi mereka yang mampu menahan perasaan yang dipendam itu dan akhirnya membiarkan saja kerana tidak mahu memburukkan diri sendiri dan keadaan.


Pernah tak dengar ayat ini? … “Marahnya orang yang pendiam lebih hebat daripada marahnya orang yang banyak cakap.” Sebab itulah, jangan sesekali menduga kesabaran individu Introvert ini. Lebih-lebih lagi sekadar suka-suka. Bagaimana kita ingin tahu individu ini sedang memendam atau menahan perasaan yang tidak enak kepada kita? Contohnya sedang marah, kecewa, terasa hati atau merajuk?

  • Tidak memandang wajah kita.
  • Pura-pura tidak mendengar teguran kita.
  • Membalas percakapan/pertanyaan kita pendek-pendek.
  • Sedaya upaya mengelak daripada bertembung dengan kita.
  • Akan menyibukkan diri dengan kerja-kerja lain.
  • Pura-pura seperti tiada apa-apa yang berlaku.
  • Hanya tersenyum biasa memandang wajah kita saat ditegur.
  • Membalas teguran kita dengan bahasa tubuh sahaja.

Jadi, sekiranya sahabat kita seperti ini, ketahuilah bahawa mereka memerlukan ruang sendiri. Individu ini lebih suka bersikap diam dan tenang sendiri jika sedang memendam perasaan marah, kecewa, terasa hati dan merajuk pada seseorang. Bagi mereka, lebih mudah meluahkan perasaan yang dipendam dengan cara bersendiri, daripada meluahkan kepada orang lain. Diam mulut mereka bermaksud minda dan hati mereka sedang ligat berputar, refleksi dan muhasabah diri. Minda yang sedang kiotik itu akan beransur-ansur reda dengan sendirinya apabila mereka melalui “fasa bersendiri”. Jika dilihat, individu begini sebenarnya cuba membuatkan keadaan nampak berlangsung seperti biasa.

2. Menumpukan perhatian pada dirinya sendiri


Jika dilihat pada poin di atas, seolah-olah individu Introvert ini bersikap pentingkan diri sendiri dan tidak mempedulikan orang lain. Sebenarnya tidak. Maksud poin ini ialah individu Introvert ini lebih gemar melakukan sesuatu perkara sendirian dan berusaha sendiri. Kita dapat lihat individu ini selesa melakukan apa-apa tugasan secara bersendirian. Mereka sukakan suasana yang tenang untuk menyelesaikan tugasan tanpa ada kehadiran individu lain. Kadangkala akan terdengarlah ayat begini….

“Dia tu suka buat kerja sorang-sorang, senyap pula tu..orang lain buat kerja, dengan mulut sekali buat kerja..”

“Kau ni..takkan nak pandai sorang-sorang, tolong la aku buat kerja ni..aku tak faham la..”

Maka, ianya menampakkan seperti individu Introvert ini tidak suka bergaul dengan orang lain. Baiklah, penjelasan mudah bagi poin ini:

Semasa beraktiviti atau bekerja, mereka bukanlah hanya pentingkan diri sendiri tetapi mereka lebih selesa melakukan apa-apa aktiviti sendirian kerana bagi mereka itu lebih mudah meningkatkan tahap fokus mereka. Lagipula, mereka bukan jenis yang suka bercakap. Jika bekerja dalam kumpulan, pastilah lebih banyak cakapnya daripada bekerja.

Dengan melakukan aktiviti sendirian, mereka lebih bebas untuk melakukan apa-apa yang diminati tanpa perlu menunggu atau mengikut kehendak orang lain. Mereka bukan tidak suka membantu, tetapi mereka lebih gemar jika orang lain meminta pertolongan daripada mereka. Sebenarnya individu Introvert ini sangatlah suka membantu jika diminta, kadangkala terus bersetuju dan tanpa rungutan. Mereka akan berasa seronok apabila dapat membantu individu lain kerana mereka rasa diri mereka dihargai.

Mereka akan berasa selesa beraktiviti atau bekerja dengan individu tertentu, bergantung kepada tahap penerimaan mereka. Sekiranya mereka tidak selesa bekerja dengan kita, bukanlah bermakna kita ini memiliki peribadi yang tidak sopan, cuma mereka tidak boleh “sebulu” dengan kita. Ada masa, mereka akan cepat ramah dengan orang lain, ada ketika sebaliknya.

Jadi, individu ini bukanlah jenis pentingkan diri sendiri, hanya buat kerja sendirian, menumpukan perhatian kepada diri sendiri. Tetapi, itu kecenderungan mereka, lebih mereka sukai. Jika mereka dalam situasi diminta membantu orang lain, mereka akan cuba selesaikan dengan secepatnya supaya mereka dapat “kembali semula menumpukan perhatian pada diri sendiri”. Mereka ini umpama mengamalkan prinsip, “Talk less, do more!”

3.Tidak suka bergaul dalam masyarakat atau dunia luar.

Individu Introvert bukanlah “kera sumbang”, bukan juga “bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing” dan bukan juga “seperti katak di bawah tempurung”. Tidak suka bukan bermaksud mereka tidak boleh dan tidak pernah bergaul dalam masyarakat dan orang sekeliling, tetapi kurang atau jarang. Bahasa mudahnya mereka lebih selesa bergerak sendiri. Poin ini lebih kurang sama dengan poin yang kedua. Poin kedua lebih kepada cara individu ini bekerja atau beraktiviti dengan rakan sepejabat dan sahabat sekeliling. Dalam poin ketiga ini, kita akan lihat cara individu Introvert bergaul dengan orang baru dalam hidup mereka, yang mereka tidak pernah temui sebelum ini.

Saya tidak lihat jauh, hanya berdasarkan pengalaman sendiri dan pemerhatian terhadap orang sekeliling. Setiap orang ada minat masing-masing atau “passion” mereka. Walaupun kadangkala mereka rasa tidak yakin dengan kemampuan mereka melakukan minat tersebut, tapi sampai satu tahap, individu Introvert ini berkobar-kobar untuk mencuba sesuatu yang diminati mereka.

Saya sejak kecil, kerap dipanggil “lembik”. Sangat-sangat “down” bukan jika sentiasa dipanggil begitu? Tapi menginjak remaja, menginjak dewasa..banyak aktiviti mencabar yang saya ingin lakukan. Tapi dengan sifat pendiam dan pemalu saya ini, membuatkan saya bertambah kurang yakin untuk melakukan aktiviti sebegitu. Sebab kebanyakan aktiviti mencabar yang saya ingin sertai itu memerlukan saya bergaul dengan masyarakat luar atau kumpulan yang saya tidak pernah berjumpa sebelum ini. Alhamdulillah, masuk ke alam pekerjaan, Allah memberikan peluang dan ruang kepada saya untuk mempelajari banyak perkara baru. Saya dapat mencuba dan sertai aktiviti perkhemahan, masuk hutan, aktiviti air (inilah aktiviti yang paling saya takuti), memanah dan banyak lagi yang pastinya memberi 1001 kenangan indah buat saya. Satu perkara yang saya masih lagi belum mampu tingkatkan ialah tahap keyakinan untuk berkomunikasi di hadapan orang lain. Kadangkala nampak seperti saya selesa bercakap di hadapan orang, tetapi sebenarnya tidak. Ianya mendatangkan resah dalam hati dan fikiran saya sebelum, semasa dan selepas sesi tersebut.

Saya juga dapat melihat melalui pemerhatian terhadap anak murid saya yang berperibadi seperti ini. Mereka seorang yang pendiam. Dalam dan di luar kelas jarang kita dapat dengar suara mereka. Tapi apabila mereka melakukan aktiviti yang mereka sukai bersama individu yang mereka senangi, mereka akan tampak bersemangat dan selesa berinteraksi.

Ini bermakna, individu Introvert bukanlah tidak langsung bergaul dengan masyarakat, tetapi sangat minimal. Mereka akan benar-benar berinteraksi dengan masyarakat atau dunia luar apabila mereka mahu. Hal ini kerana, mereka lebih menghargai “masa sendiri” mereka. Penerangan tentang Introvert ini tidak secara menyeluruh kerana apa yang saya kongsikan ini lebih kepada bersifat peribadi dan bukanlah kajian secara mendalam.

Introvert, Ambivert atau Extrovert…sebenarnya setiap daripada kita, Allah ciptakan memiliki ciri-ciri peribadi ketiga-tiga golongan ini. Cuma setiap orang ada kecenderungan terhadap salah satu golongan ini. Seperti dalam Firman Allah Surah Al-Hujurat, ayat 13;

“Wahai manusia! Sungguh, Kami telah Menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian Kami Jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti.”

Perbezaan yang dimiliki setiap orang bukanlah kunci untuk kita saling merendah atau menjulang sesiapa. Namun, perbezaan ini untuk kita saling mengenal dan perbezaan ini jugalah yang melengkapkan sesebuah keluarga atau masyarakat. Allah Sangat Baik. Jadi, hanya yang baik-baik saja Allah Ciptakan, lagi-lagi makhluk yang bernama manusia ini. Allahu A’lam.

Penulis,

Siti Khairiah binti Abu Hassan,
Serdang.

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.