Pada penghujung tahun 2017, saya berpeluang menjejakkan kaki ke tempat kelahiran Buya Hamka di Maninjau, Sumatera Barat. Sejujurnya detik itu merupakan permulaan saya mengenali nama Hamka. Ya, sebelumnya saya pernah membaca buku A Fuadi, berkisarkan seorang anak muda yang bercita-cita mahu mengikut jejak langkah Hamka atau Habibie. Saya yakin kalau penulis menukilkan nama seseorang di buku mereka, sudah tentu sosok tersebut memberi seribu satu inspirasi kepada anak-anak muda di luar sana. Itu yang berlaku sekitar tahun 2014. Lebih kurang setahun sebelum ke Maninjau, saya menonton Filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, tanpa mengetahui lebih lanjut tentang penulis novel yang diangkat menjadi filem tersebut. Kedua-dua peristiwa ini menjadi titik tolak bagaimana saya mula jatuh hati dengan karya-karya Buya Hamka.
Sayang sekali saya baru menyedari kewujudan tulisan Hamka pada usia ini. Lapan tahun sebelum saya dilahirkan, Buya Hamka sudah pulang menghadap Ilahi buat selama-lamanya. Namun, karya Hamka yang berjaya diulang cetak membuatkan saya berusaha untuk mendapatkan buku-buku beliau yang dikatakan buku langka, tetapi masih relevan hingga kini. Di sinilah saya mula menggali biodata seorang Hamka, bukan sebagai salah seorang murid Almarhum, apatah lagi rakyat Indonesia, tetapi hanya sebagai seorang pembaca dari negeri tetangga. Karya-karya Buya Hamka telah membuktikan kepada kita keberadaan seorang ulama sekaligus pujangga Nusantara walaupun jasadnya sudah tiada. Tidak menyesal rasanya baru sekarang saya berkenalan dengan karya Hamka, malah perasaan saya membuak-buak untuk memiliki kesemua buku yang ditulis oleh beliau.
Sepulangnya dari Maninjau, saya giat mencari dan mengumpul buku-buku Hamka, fiksyen mahupun bukan fiksyen. Saya mula membaca Merantau ke Deli dan Tuan Direktor. Kemudian beralih pula ke Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, salah satu buah tangan yang sempat saya beli di Muzium Hamka semasa ke Maninjau. Saya terpegun dan seakan-akan tidak percaya buku ini ditulis oleh seorang Ulama. Maka tidak hairanlah Buya Hamka pernah digelar “Ulama Roman.”. Saya turut membeli novel-novel yang lain seperti Terusir, Angkatan Baru, Di Bawah Lindungan Kaabah dan beberapa buku lagi. Sebenarnya, bukan kisah cinta sahaja yang ingin diterapkan oleh Buya Hamka melalui genre fiksyen, tetapi bagaimana cara pandang Islam terhadap isu-isu yang diketengahkan dan kesan yang timbul terhadap masyarakat. Secara tidak langsung kritikan terhadap adat Minangkabau dan permasalahan umum yang beredar dalam kalangan masyarakat dilakar secara halus oleh Hamka seperti kisah Hayati dan Zainuddin, Hamid dan Zainab, Leman dan Poniem serta kisah dari watak-watak yang lain.
Buya Hamka menulis cerita berpuluh tahun dahulu, berdasarkan kisah masyarakat yang terjadi pada rangka waktu itu. Walaupun karyanya sudah lama, tetapi ia masih menjadi sandaran kepada kehidupan kita pada hari ini. Apakah kita masih mahu menafikan beliau sebagai sang pujangga hebat? Para pembaca boleh menilai sendiri berdasarkan jalur penceritaan karya malar segar seperti yang disebut sebelumnya. Benarlah, karya-karya Buya Hamka bukan sekadar karya picisan yang masih diulang cetak, tetapi ia merupakan sebuah karya agung yang mengajak para pembaca untuk mengaca dan menceduk pengajaran di sebaliknya.
Hati saya tersentuh selepas menamatkan pembacaan buku Perjalanan Terakhir Buya Hamka. Buku ini memuatkan 48 penulisan belasungkawa para penulis yang mengimbau kembali kenangan mereka bersama Buya Hamka selepas pemergian beliau pada 24 Julai 1981. Boleh dikatakan semua perkongsian tersebut menggambarkan perilaku seorang Hamka dengan satu kesamaan, iaitu seorang ulama, pujangga, negarawan dan Sejarawan. Jelaslah Buya Hamka berjaya menempatkan tauladan yang baik di dalam hati seluruh masyarakat, termasuk generasi yang lahir selepas pemergiannya. Saya tidak pernah melihat sosok Hamka yang asli, tetapi melalui pembacaan buku biografi tentang Almarhum membuktikan bahawa peribadi Buya Hamka tidak ada tolok bandingnya, lebih-lebih lagi dalam urusan agama yang tidak membenarkan sedikitpun ruang untuk berkompromi.
Ada beberapa sebab mengapa saya mengagumi perwatakan Buya Hamka secara peribadi, walaupun sekadar daripada pembacaan karya-karya dan kisah hidup beliau.
1.Anugerah Autodidak. Buya Hamka dikatakan permata autodidak yang tidak ternilai kilauannya malah masih berkilau hingga kini. Beliau tidak belajar secara formal seperti mana kita mengambil jurusan di universiti atau kolej. Tetapi kesungguhan Buya Hamka membaca dan memahami setiap bacaannya menjadikan beliau petah berkata-kata serta mampu menumpahkan idea-idea melalui penulisan dari hal agama, sejarah dan sastera. Selain daripada berguru daripada beberapa ahli agama yang berpengaruh, beliau juga dikatakan banyak membaca sastera Bahasa Arab seperti karya Manfaluthi. Buya Hamka juga fasih dan teliti ketika berbicara tentang Sejarah tanpa gagal merakamkan tarikh-tarikh serta peristiwa penting yang berlaku.
2. Ibrah kuih bika. Buya Hamka dilantik menjadi ketua Majlis Ulama Indonesia pada tahun 1975. Penubuhan MUI bertujuan untuk menghubungkan umara dan masyarakat tentang hal-hal berkaitan agama. Ia diibaratkan seperti sebuah jambatan yang menugaskan para Ulama sebagai perantara antara rakyat dengan pemerintah. Perumpamaan tersebut menggambarkan tugas Ulama seperti membuat kuat bika yang dibakar dengan api dari atas dan bawah. Jika terlalu panas dari bawah, kuih bika akan hangus dari bawah, dan jika terlalu panas dari atas, hangus pula dari atas. Oleh itu, seorang Ulama mesti berperanan yang benar agar permasalahan umat berjaya dirungkai dengan baik. Seperti kuih bika yang sedang sedang dibakar, tidak hangus dari atas dan bawah. Saya kira ciri sebegini perlu ada pada seseorang pemimpin pada hari ini, tidak kira dia seorang ahli agama mahupun golongan cerdik pandai.
3. Tokoh masyarakat yang menjadi pusat rujukan ramai. Rumah Buya Hamka di Kebayoran Baru sentiasa dikunjungi oleh pelbagai lapisan masyarakat tidak mengira agama untuk mengutip kata-kata nasihat dan tunjuk ajar daripada Almarhum, bahkan ada yang beratur untuk meminta bantuan dari segi kewangan. Mereka mendapat layanan yang baik tanpa ada perbezaan. Ini memperlihatkan bagaimana cara Buya Hamka berhadapan dengan masyarakat. Sudah tentu beliau tidak berbicara atas nama pemerintah mahupun jawatan, tetapi dengan melunaskan tanggungjawab yang sebetulnya sebagai Khalifah dan ‘Abid, berlandaskan Al-Quran dan Sunnah. Oleh sebab itu, agamawan yang dekat dengan masyarakat mampu memberi kesan mendalam kepada mereka lebih-lebih dalam urusan agama. Itulah yang dikatakan medan dakwah sebenar!
4. Penjara yang menjadi wadah terhasilnya Tafsir Al-Azhar. Buya Hamka pernah dihukum penjara selama dua tahun sewaktu Orde Lama iaitu dibawah pemerintahan Sukarnoe. Namun penjara yang sesak itu tidak menghentikan semangat beliau untuk terus berkarya sehingga selesai penulisan 30 juzuk Tafsir Quran yang diberi nama Tafsir Al-Azhar. Kegelapan dan kesempitan di penjara tetap memberi cahaya serta keluasan fikiran Buya Hamka untuk menulis tafsir sebagai harta peninggalan kepada umat masyarakat. Semangat yang sebegini yang diperlukan oleh generasi sekarang.
Itulah sedikit sebanyak keperibadian Hamka yang sentiasa menjadi contoh kepada kita. Maninjau menjadi saksi lahirnya seorang ulama terulung sekaligus seorang pujangga yang tidak hanya terkenal di Indonesia tetapi di seluruh pelosok dunia. Saya menyitir kata-kata Prof Dr Hafidzi dalam buku beliau Fajar Islam di Nusantara yang mengatakan Ranah Sumatera Barat merupakan daerah yang subur dengan gerakan dakwah dan melahirkan tokoh pemikir Islam seperti Buya Hamka, Agus Salim, Muhammad Hatta, Tan Malaka dan ramai lagi disebabkan oleh dua faktor iaitu alam yang cantik serta susunan adat yang mengkehendaki kaum lelaki meninggalkan kampung dan mencuba nasib di rantau orang.
Buya Hamka sudah pergi jauh meninggalkan kita. Kita hanya mengenal Almarhum melalui karya-karya yang ditinggalkan. Saya jadi teringat kata-kata majikan Almarhum BJ Habibie semasa beliau melepaskan jawatan di Jerman yang memanfaatkan Probability of Theory tentang keberadaan seseorang dengan keterampilan dan keunggulan masing-masing. Tiap manusia kemungkinan akan sama setelah hampir 200 tahun. Kemunculan seorang genius seperti BJ Habibie akan ditemukan orang yang sama sifat, perilaku dan potensinya setelah lebih kurang 200 tahun kemudian. Saya yakin demikian juga dengan Buya Hamka. Walaupun Almarhum sudah tiada, beliau meninggalkan satu kebaikan yang tidak mudah untuk dilupakan malah menjadi sebutan orang tanpa jemu. Memetik juga kata-kata Ustaz Hasrizal selepas pemergian Tuan Guru Nik Abdul Aziz, pada detik engkau pergi buat selama-lamanya, hatiku tertanya-tanya adakah kami engkau tinggalkan masih dalam rentak kebangkitan Islam?
“Di mana kan kucari ganti, serupa denganmu.”
Selamat Jalan Buya Hamka. Terima kasih Allah kerana telah menganugerahkan kami seorang Ulama terulung, sejarawan sejati dan pujangga terhebat yang memiliki peribadi, pengetahuan serta kepandaian yang tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas. Semoga kita semua mampu menjadi mata rantai kepada usaha-usaha para agamawan yang mendahului kita ke negeri Abadi. Rahmati mereka Ya Allah.
“Ramai hadirin yang memuji Buya kerana pengajian tadi. Adakah Buya suka juga dipuji? Dengan spontan Buya menjawab. “Bukanlah manusia kalau tidak suka dipuji. Buya juga tentu suka dipuji kerana hasil karya, tetapi pujian itu saya terima lalu saya kembalikannya kepada Allah. Pujian itu saya terima bukan atas dasar kesombongan tetapi saya kembalikan kepada Allah yang menciptakan dunia dan segala isinya.”Petikan buku Perjalanan Terakhir Buya Hamka.
Penulis,
Wan Hasni Syakila
24 Jun 2020
Bandar Baru Bangi.