Jika perkataan ketagihan atau kecanduan sering dikaitkan dengan aktiviti tidak bermoral seperti ketagihan dan kecanduan kepada narkotik dan minuman keras, bagi golongan bijak pandai perkataan ini boleh dikaitkan dengan aktiviti yang memberi impak positif iaitu ‘ketagihan dan ketagihan’ terhadap buku. Sama ada penggunaan kata ini sesuai dan wajar digunakan, bagi mereka itulah erti yang paling tepat untuk diungkapkan untuk golongan yang mencandui buku dan mengalami ketagihan kepadanya.
Mereka yang terpalit dengan kecanduan dan ketagihan kepada buku memberi erti orang yang mempunyai tabiat membeli, membaca, menyimpan dan mengagumi buku secara berlebih-lebihan. Tingkah laku ini digelar dalam dunia perbukuan sebagai biblioholisme. Tom Raabe, pengarang buku Biblioholism: The Literary Addiction(1991) menyebut terdapat dua jenis biblioholisme iaitu bibliomania (gila buku) dan bibliofil (cinta buku). Sifat kecenderungan terhadap buku di antara kedua-duanya adalah sama. Cuma yang membezakannya adalah, seorang bibliomania membeli buku hanya untuk mengumpulkannya, manakala bibliofil ingin mengambil manfaat daripada isi kandungan buku.
Pada pertengahan tahun 2018, di media sosial Mesir tular kisah seorang ‘pak cik cleaner’ telah membaca lebih daripada 4 ribu buah buku. Sebagai seorang pekerja pembersih bandar yang ‘fail meja’sehariannya menyapu sampah, mengutip dan membuang sampah, dan waktu bekerja seharinya selama 12 jam tetapi mampu meluangkan masa membaca buku dalam kuantiti yang banyak, amat mengagumkan.
Tambah menakjubkan lelaki ini juga mampu menguasai dua bahasa asing (Inggeris dan Perancis) dengan hanya belajar sendiri-sendiri, dengan membiasakan membaca akhbar, menonton filem dan memberanikan diri berinteraksi dengan pelancong-pelancong asing yang ramai mengunjungi bumi Mesir khususnya kota Kaherah.
Itulah ammu Sa’id atau Pak Sa’id yang kelibatnya boleh dilihat di Jalan al-Mu’iz di bandar kosmopolitan Kaherah. Beliau menjadi seorang ‘pelahap buku’ dan pembaca buku yang serius sekali. Melihat kepada latar belakang pekerjaannya yang sudah disandangnya sejak 5 tahun lepas, tidak mewajarkan bagi sesetengah orang membayangkan keperluan untuk beliau membaca buku dalam kuantiti sebegitu banyak apatah lagi buku-buku yang ditatapinya dalam genre buku beraras tinggi.
“Saya telah membaca lebih daripada 4 ribu buah buku meskipun saya bekerja selama 12 jam sehari dan menterjemahkan bacaan saya dalam bahasa Perancis dan Inggeris disamping itu saya juga menonton filem Perancis dan menterjemahkannya”.
Pembacaan beliau tidak hanya terhad kepada satu disiplin ilmu sahaja. Buku-buku berkait dengan politik, psikologi, kesenian dan sastera menjadi ramuan menyelerakan nafsu menelaah buku di waktu-waktu senggang yang terbatas. Cuma bacaan dalam bidang sastera dan syair menduduki tempat utama bacaan ammu Sa’id.
“Saya banyak membaca buku-buku sastera hasil tulisan sasterawan dan pujangga terkenal seperti Najib Mahfouz, Taha Hussein, al-Rafi’ie, Yusuf al-Siba’I, al-‘Aqqad dan al-Manfaluti serta banyak lagi buku-buku sastera. Dan saya sukakan syair-syair.”
Jika diteliti bahan bacaan kesusasteraan yang ditatapi oleh ammu Sa’id menerusi buah fikiran tokoh-tokoh sasterawan tersebut dengan begitu meluas, tidak hairanlah pemikiran tokoh-tokoh ini meniti di segenap ufuk pemikiran beliau. Justeru tidak hairanlah dalam sebuah rancangan temubual, Wahid min al-Nas di sebuah stesen penyiaran Mesir, buah pemikiran tokoh-tokoh ini dapat diwacanakan dengan begitu lancar dan baik sekali oleh lelaki separuh abad ini.
Malah lebih menakjubkan lagi, pembacaan beliau dalam dunia kesusasteraan turut merentasi dunia kesusasteraan barat lantaran nama-nama beserta idea dan pemikiran para pujangga dan pemikir besar seperti William Shakespeare, Jean-Paul Sartre dan lain-lain semuanya terakam dalam bingkai pemikiran beliau. Kemampuan beliau sungguh mengagumkan sesiapa yang berwacana dengan beliau.
Wah, ammu Sa’id bukan calang-calang orang! Wacana pemikirannya cukup merangsang sesiapa sahaja yang mendengar butir bicaranya. Seperkara yang sangat penting dapat diambil iktibar daripada sikap dan tingkah laku beliau, bahawa ilmu dan suakanya tidak terbatas hanya berperanan di ruang legar menara gading sahaja. Sesiapa sahaja berhak memilikinya, mewacanakannya dan boleh turut serta mewarnai persada keilmuan hatta orang seperti beliau. Sungguh, ingatan kita pasti tidak terlepas mengenangkan sikap dan kesungguhan para ilmuwan dan cendekiawan di era keemasan Islam yang memaparkan tokoh-tokoh ulung antaranya seperti al-Jahiz, seorang penjaja roti yang mencintai buku dan ilmu hingga mengangkat beliau menjadi seorang pujangga Arab tersohor.
Ammu Sa’id adalah mangsa keadaan. Mangsa kemiskinan hingga mentakdirkan beliau tercicir dalam pengajiannya di peringkat universiti sewaktu usia remaja. Kehidupan beliau yang dibelenggu kemiskinan memaksa beliau melupakan pengajian beliau dalam bidang kesusateraan di salah sebuah universiti di Mesir. Impian beliau ingin menjadi sasterawan dan penulis handalan di masa hadapan terkubur begitu sahaja diliputi debu zaman.
Kehidupan harus diteruskan walau bagaimana payah sekali pun. Bagi beliau tip utama bagi menempuh kehidupan di alam fana ini adalah dengan bersabar dan jangan mengalah serta tabah atas segala ujian. Mendepani kehidupan yang maha sukar di bumi kelahirian sendiri, beliau bangun dalam upaya yang meskipun terbatas, tetapi dengan begitu tabah.
Berpindah dari satu pekerjaan ke satu pekerjaan tanpa sebarang kelulusan tinggi, suatu yang perlu ditempuhi oleh lelaki ini yang kini menjangkau 50’an dan hingga kini hidup membujang. Jalan yang diambil oleh beliau bagi menutupi segala kepayahan hidup yang dilaluinya adalah dengan tenggelam dalam dunia pembacaan.
Membaca buku menjadi terapi diri. Membaca buku menjadikan beliau berada dalam dunia pesona yang sukar diungkapkan sehingga seolah-olah ada sealiran tenaga yang menyeruak ke segenap fikiran dan sanubari, menguntumkan semangat menyahkan kemelut dan mehnah kehidupan yang mencengkam dirinya. Membaca buku ternyata hiburan buat batin di kala suka dan duka dirundung nestapa. Buku benar-benar menjadi teman membunuh kedukaan juga membekalkan ilmu. Inilah suatu kenikmatan yang tidak terungkapkan dengan kata-kata yang dialami oleh ammu Sa’id.
Di Mesir pekerjaan seperti beliau ini, dengan hanya berpendapatan sebanyak 1000 Pound Mesir dan tempoh bekerja selama 12 jam sehari, layak menggolongkan beliau sebagai orang yang hidup di paras kemiskinan. Namun status kehidupannya yang rendah ini tidak menghalang untuk beliau terjun berwacana dalam dunia intelektual beraras tinggi dalam gayanya tersendiri; di tepi-tepi kaki lima, tetapi tetap tidak mahu tewas menggulati dunia keilmuan.
Bagi ammu Sa’id, memperoleh ilmu tidak hanya dengan menggenggam sekeping ijazah sahaja, bahkan sesiapa sahaja boleh memiliki ilmu asal ada kemahuan dan sanggup meredah suasana kehidupan yang mencabar dengan penuh sabar. Minat dan kesungguhan beliau menekuni buku-buku sastera dan syair-syair Arab wajar diberi pujian dan sanjungan. Pembacaannya tidak seperti ‘angin berlalu’ sahaja tanpa apa-apa faedah. Pembacaannya penuh berisi dan benar-benar mengesani dirinya.
Sesiapa yang mendengar ‘kuliah jalanan’ menerusi celotehnya pasti terpikat dan jika diminta melantutkan syair-syair gubahannya sendiri; dia cukup bersedia secara sepontan. Kebolehan ammu Sa’id ini mendapat pujian para wartawan yang pernah menemuramah beliau di tepi kaki lima jalan, tempat beliau bekerja membersih dan mengutip sampah tanpa rasa canggung. Malah beliau berbangga dengan tugasnya sebagai ‘pembersih bandar’. Kota Kaherah menjadi bersih hasil dari tangan dan perit jerihnya!
Kebiasaan ammu Sa’id akan membaca buku di mana sahaja ada masa terluang. Setiap hari beliau akan menjinjing beg pelastik berisi buku-buku ke tempat kerja. Waktu-waktu senggang dan rehat dimanfaatkan dengan membaca buku. Beliau memperuntukkan daripada wang gajinya yang sederhana itu untuk membeli buku sama ada buku baharu atau buku terpakai yang sememangnya banyak terjual di kota Kaherah.
Buku-buku yang telah hadam ditelaah akan dijual semula bagi membeli buku-buku yang lain pula. Begitulah seterusnya, membeli, membaca dan menjualnya semula. Ammu Sa’id tidak menyimpan buku-buku yang dibeli dan dibacanya. Beliau tidak rakus mengumpul buku sebagai koleksi peribadi. Beliau hanya rakus membaca untuk diambil manfaat.
Tidak hanya membaca, beliau berusaha menterjemahkan bacaan itu ke dalam bahasa Perancis dan Inggeris secara suka-suka. Bagi memahirkan penguasaan bahasa asing khasnya bahasa Perancis beliau banyak membaca surat khabar dan menonton filem. Di samping itu beliau juga rajin berinteraksi dengan pelancong asing yang tidak putus-putus mengunjungi bumi Mesir. Kesempatan ini diambil sebaik mungkin oleh beliau yang ‘ringan mulut’ menyapa dan menyantuni para pelancong ini bagi mempraktikkan penggunaan bahasa asing. Di sinilah beliau ‘bersekolah’ dan belajar bahasa Inggeris dan Perancis secara tidak langsung.
Keramahan ammu Sa’id berjaya menambat hati para pelancong asing lantaran kepetahannya berbahasa Inggeris dan Perancis. Dan dalam waktu sama beliau juga bertindak sebagai ‘pemandu pelancong tidak rasmi’ kepada para pelancong yang memerlukan maklumat tertentu tentang kota Kaherah.
Daripada kisah ammu Sa’id ini dapat menginsafi diri kita bahawa kebahagiaan jiwa tidak terbatas dengan mengecapi kemewahan yang melimpah ruah di dunia ini. Ini terbukti setelah tenggelam dalam dunia buku dan dunia pembacaan, beliau berjaya menyisihkan kedukaan hidup lantaran ketepuan diulit dunia kemiskinan. Pembacaan buku menghidangkan sisi-sisi positif dalam kehidupan manusia, malah mampu memaknakan erti kehidupan yang penuh warna warni dan segala pancarobanya.
Membaca buku juga meletakkan diri ‘si tukang sapu’ ini begitu berharga di mata masyarakat. Benarlah apa yang diungkapkan oleh filsuf Yunani klasik, Aristotle ketika disoal bagaimana peribadi seseorang itu boleh dinilai, jawabnya, “Saya akan bertanyakannya, berapa banyakkah buku yang sudah dibaca dan tentang topik buku yang menjadi pilihannya”.
Oleh: Syed Syahriman Syed Ali