Dewasa ini industri buku tempatan menyaksikan kemunculan buku-buku terbit sendiri di pasaran. Buku terbit sendiri atau swaterbit merujuk kepada buku yang proses penerbitannya tidak melibatkan mana-mana syarikat penerbitan luar, sebaliknya diuruskan sepenuhnya oleh penulis. Hakikatnya, menerbitkan buku sendiri bukanlah perkara baru. Hal ini sudah bermula sejak mesin cetak Gutenberg dicipta pada tahun 1440. Perkembangan teknologi juga memungkinkan buku untuk dicetak dalam jumlah sedikit, atau tidak perlu dicetak langsung jika diterbitkan dalam format buku elektronik. Di peringkat antarabangsa, beberapa buku terbit sendiri telah melakar kejayaan yang tersendiri seperti novel The Martian tulisan Andy Weir.

Menerbitkan buku sendiri ada kelebihan dan kekurangannya. Antaranya;

Kelebihan:

1. Penulis bebas menentukan sebarang keputusan berkaitan buku seperti isi kandungan, reka letak, konsep, dan kulit buku.

2. Buku boleh diterbitkan dengan kadar segera (tidak perlu melalui tapisan penerbit yang biasanya memakan masa berminggu-minggu hingga berbulan-bulan).

3. Keuntungan jualan buku yang lebih tinggi untuk penulis.

Kekurangan:

1. Modal dan kerugian ditanggung sendiri oleh penulis.

2. Promosi, pemasaran, dan jualan buku perlu dilakukan sendiri.

3. Buku yang sudah dicetak perlu disimpan sendiri.

4. Risiko menerbitkan buku yang tidak memenuhi kehendak pasaran.

Ada suara-suara yang berpendapat bahawa buku terbit sendiri adalah buku ‘syok sendiri’ dan kurang berkualiti. Ini merupakan suatu generalisasi kerana nilai sesebuah buku itu bukan terletak pada cara penerbitan, sebaliknya kandungan yang ditawarkan. Bahkan jika dibuat dengan cara yang betul, buku terbit sendiri boleh jadi setanding dengan buku-buku keluaran syarikat penerbitan arus perdana.

Berbalik kepada persoalan utama, mudah ke nak terbitkan buku sendiri? Di sini dikongsikan langkah-langkah menerbitkan buku sendiri secara am dan ringkas;

1. Menyiapkan manuskrip.

Manuskrip ialah naskhah dengan kandungan buku sebelum dicetak. Menulis manuskrip sehingga siap sebenarnya adalah langkah yang paling mencabar dalam proses menerbitkan buku. Penulis baru digalakkan untuk menghadiri bengkel-bengkel penulisan dan penerbitan bagi menuntut ilmu berkaitan. Antaranya seperti teknik menulis buku sampai siap, cara menulis buku yang tidak bosan dibaca, strategi penerbitan, dan senario terkini pasaran buku. Selain itu, melalui bengkel-bengkel ini juga penulis dapat membina rangkaian dengan mereka yang lebih berpengalaman dalam industri buku. Pastikan bengkel yang dihadiri sesuai dengan genre buku yang ingin ditulis.

2. Suntingan masnuskrip

Kadang-kala apabila sudah berkali-kali membaca manuskrip sendiri, penulis boleh terlepas pandang kesilapan-kesilapan yang ada pada manuskrip tersebut. Oleh itu, penulis digalakkan supaya menghantar manuskrip yang sudah siap kepada editor bebas untuk disunting. Kebiasaannya, editor akan membetulkan kesilapan ejaan, tatabahasa, struktur ayat, dan fakta yang terdapat dalam manuskrip. Kadar bayaran adalah mengikut bilangan muka surat manuskrip dalam format yang ditetapkan oleh editor. Sebaiknya minta terlebih dahulu sebut harga dan jangkaan tarikh siap daripada editor sebelum bersetuju mendapatkan khidmat mereka.

3. Reka letak buku

Selepas manuskrip siap disunting, tiba masa untuk menyusunnya dalam bentuk buku. Antara perkara yang perlu diambil kira ialah saiz buku, konsep buku, jenis dan saiz tulisan, susunan gambar jika ada, jenis kertas, berwarna atau tidak, dan sebagainya. Reka letak buku tidak kurang pentingnya kerana faktor ini boleh mempengaruhi pembeli dan pembaca. Proses ini boleh dilakukan sendiri jika mahu menjimatkan kos atau melantik pereka letak bebas lain. Kadar bayaran juga ditentukan mengikut bilangan muka surat selepas reka letak buku siap dan muka surat berwarna atau hitam putih.

4. Kulit buku

Proses mereka bentuk kulit buku boleh bermula seawal mungkin setelah tajuk dan konsep buku ditentukan. Rekaan tersebut boleh dihasilkan sendiri jika berkemahiran atau melantik pereka lain yang dipercayai kreativitinya. Walaupun nampak mudah, jangan pula kita mempertikaikan bayaran perkhidmatan ini yang biasanya mencecah ratusan ringgit. Pertama-tamanya yang akan dinilai pada sesebuah buku itu adalah kulit depannya. Oleh itu, sedikit pelaburan dalam proses ini bukanlah suatu yang merugikan.

5. Permohonan ISBN dan PDP

Sebelum buku dicetak, penulis perlu memohon International Standard Book Number (ISBN) daripada Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). ISBN merujuk kepada nombor dan barkod yang biasanya diletakkan pada bahagian belakang buku. Pengkatalogan Dalam Penerbitan (PDP) pula boleh dilihat pada halaman hak cipta sesebuah buku. Memohon PDP tidak wajib tetapi digalakkan. Borang-borang dan tatacara permohonan boleh didapati di laman web rasmi PNM. Permohonan adalah percuma dan boleh mengambil masa dalam seminggu hingga berminggu-minggu. Bagi mengelakkan tempoh menunggu yang lama, pemohon boleh menghubungi pihak PNM dari semasa ke semasa untuk mengetahui perkembangan status permohonan.

6. Cetak buku

Sekarang manuskrip sudah siap dan bersedia untuk dicetak. Persoalannya, berapa banyak yang mahu dicetak? Bagi menjawab persoalan ini, beberapa faktor perlu diambil kira seperti bajet cetakan, target pasaran, cara pemasaran, tempat stok buku disimpan, dan sebagainya. Kebiasaannya kilang-kilang cetakan besar menerima tempahan minimum sebanyak 500 naskhah. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa syarikat cetakan kecil yang menawarkan cetakan buku dengan jumlah kurang daripada itu. Syarikat Tukang Buku misalnya membolehkan buku dicetak seminimum empat naskhah. Semakin banyak naskhah dicetak, semakin murah kos cetakan untuk sebuah buku.

7. Promosi, pemasaran, dan jualan

Perkembangan teknologi pada masa kini memungkinkan proses-proses ini dilakukan di hujung jari. Seperti jurujual produk lain, penulis yang menerbitkan buku sendiri juga perlu rajin menjalankan promosi terutamanya di media sosial. Siapa lagi yang nak buat kalau bukan diri sendiri, bukan? Apabila sudah mempunyai pembaca, galakkan mereka untuk menulis ulasan buku tersebut dan berkongsi di media sosial sebagai promosi percuma. Selain itu, penulis juga boleh cuba mendekati kedai-kedai buku kecil supaya menjual buku yang diterbitkan. Sebelum pesta buku bermula, intai-intailah peluang menyertai reruai yang menyediakan ruang untuk penulis buku terbit sendiri.

Proses menerbitkan buku sendiri nampak leceh, namun pengalaman yang diperolehi amat berharga. Melihat buku yang sudah siap berada di tangan memberikan kepuasan tersendiri. Walaupun namanya terbit sendiri, tidak semestinya perlu dilakukan seorang diri. Penulis sebenarnya boleh meminta khidmat nasihat dan bantuan daripada konsultan penerbitan buku seperti Jejak Tarbiah, Kuras Buku/Legasi Oakheart, dan Senang Terbit. Jangan segan-segan untuk belajar dan membina rangkaian dengan individua tau kumpulan yang lebih berpengalaman dalam industri buku.

Menerbitkan buku adalah suatu pelaburan. Pastikan pelaburan itu berbaloi dan tidak sia-sia. Paling utama, tulis dan terbitkanlah buku yang bermanfaat buat agama dan bangsa.

Oleh: Zahrah Yunos (Doktor Gigi Yang Menerbitkan Bukunya Sendiri)

Leave your vote

11 Points
Upvote Downvote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.