Di tengah-tengah kehimpitan menyiapkan tesis melanda, penulis telah berkesempatan membaca sebuah naskhah terbaik nukilan Hilal Asyraf berjudul Tetamu Tuhan 50 Hari. Novel yang mengandungi 415 halaman dengan 14 bab (termasuk Prolog dan Epilog) ini mengisahkan seorang pemuda bernama Wasim yang menunaikan ibadah Haji selama 50 hari di Tanah Suci Mekah. Wasim yang merupakan seorang anti sosial, perokok tegar dan tidak menjaga solat serta menjalani kehidupan yang terumbang-ambing sebagai peniaga atas talian terkejut apabila mengetahui dirinya tersenarai sebagai salah seorang jemaah Haji pada tahun tersebut. Tambah mengejutkan lagi, kos dan perbelanjaannya juga ditanggung. Berlakulah liku-liku kehidupan Wasim sepanjang 50 hari berada di Tanah Suci Mekah.

Tetamu Tuhan 50 Hari by Hilal Asyraf

Novel Tetamu Tuhan 50 Hari sememangnya sarat dengan hikmah. Penulis cuba memetik beberapa untaian hikmah yang ditanam oleh Hilal Asyraf di dalam naskhahnya itu semisal:

1) Ibadah Haji tidak hanya sekadar mendapatkan pangkat ‘Haji’ dan ‘Hajah’.

Rata-rata masyarakat lebih memandang ibadah Haji hanya sekadar mendapatkan pangkat ‘Haji’ dan ‘Hajah’ sahaja tanpa mengambil ibrah dan menekuni ibadah-ibadah yang terkandung di dalamnya. Dalam novel ini, jelas Hilal Asyraf menerapkan fikrah bahawa ibadah Haji merupakan ibadah yang memberi kesan pada jiwa setiap Muslim andai dihayati dengan mendalam:

Kadang-kadang, orang kita menganggap urusan Haji ini sekadar ritual untuk mendapat gelaran Tuan Haji dan Puan Hajah sahaja. Kita fikir, gelaran Haji dan Hajah itu punya nilai. Walhal, hakikatnya tidak. Kita bukan bersusah payah berkorban harta, tenaga dan masa untuk Haji ini sekadar selesai. Tetapi ibadah ini perlu kita hayati maknanya, supaya apabila pulang daripada menunaikannya kelak, kita mampu menjadi insan yang lebih baik berbanding sebelum kita datang. (Tetamu Tuhan 50 Hari, halaman 188)

2) Setiap ujian adalah didikan.

“ Kita semua teruji, Wasim. Engkau ada ujian engkau. Aku ada ujian aku. Sebab itu penting untuk kita lihat peristiwa-peristiwa yang menimpa diri kita, sebagai didikan daripada Allah SWT. Apabila Dia uji kita, pasti ada hikmah-Nya. Tugas kita sebagai hamba ialah yakin yang Dia tidak akan mensia-siakan kita, menzalimi kita.”  (Tetamu Tuhan 50 Hari, halaman 156)

Watak Wasim, Hilman dan Abang Hussein di dalam novel ini digambarkan sebagai antara sebilangan manusia yang dihadirkan Allah Taala dengan ujian-ujian yang sangat mencabar di tengah-tengah pelaksanaan Rukun Islam Kelima tersebut sedang berlangsung. Walau bagaimanapun, kesemua watak tersebut dapat menunaikan ibadah Haji dengan sempurna walau ujian menimpa. Ini memberi pengajaran buat penulis bahawa setiap manusia ada ujiannya yang tersendiri, namun semuanya adalah didikan daripada Yang Maha Esa.

3) Nilai sebuah persahabatan

“Alhamdulillah. Aku akan sentiasa mendoakan engkau. Jangan engkau ingat engkau berseorangan. Aku ada. Lepas kita balik Malaysia nanti pun, aku akan pastikan kita sentiasa berjumpa. Berkawan lebih erat.” Wasim menyentuh sisi bahu Hilman.  ( Tetamu Tuhan 50 Hari, halaman 350)

Wasim yang pada asalnya seorang anti sosial jelas berubah selepas mengenali Hilman di Tanah Suci Mekah. Hilman bertanggungjawab sebagai pembimbing di samping peneman buat Wasim. Malah semasa Hilman ditimpa ujian, Wasim hadir sebagai pendengar dan peneman yang setia. Inilah nilai persahabatan yang wajar dipertontonkan dalam norma masyarakat hari ini. Persahabatan tidak hanya atas nama dan kelebihan seseorang, namun saling lengkap melengkapi dan mendoakan antara satu sama lain serta sama-sama berada di atas jalan kebenaran. 

4) Setiap perubahan memerlukan dokongan.

Mustahil untuk seseorang itu untuk berubah andai tiada pendokong. Perubahan sikap Wasim sendiri didorong oleh Hilman selaku sahabat sejatinya selain Zulaikha, isterinya dan Hajah Rogayah serta Haji Abdurrahman selaku ibu bapa Wasim. Zulaikha, isteri Wasim tidak putus-putus memberikan semangat ke arah perubahan suaminya itu:

Walaupun menyedari banyak kekurangan Wasim, tetapi Zulaikha terus-menerus membantunya. Walaupun Wasim terus-menerus gagal, Zulaikha tetap tidak berputus asa. Bahkan memujuk dengan cekal. ( Tetamu Tuhan 50 Hari, halaman 336)

Di sini dapat dilihat betapa pentingnya menjadi pendokong kepada seseorang yang berusaha untuk berubah dan kembali ke jalan yang benar. Jadilah pembakar semangat bukannya pemusnah harapan.

Novel Tetamu Tuhan 50 Hari ini jelas memberi hikmah yang sangat banyak buat penulis. Penulis sendiri semasa membaca novel ini terus terbayang-bayang situasi di Masjidil Haram, Arafah, Rehab al-Janadariyah dan Madinah al-Munawwarah meskipun belum ada kesempatan lagi untuk menjejakkan kaki ke sana. Syabas buat Hilal Asyraf. Teruskan berkarya demi pembangunan jiwa ummah!

Oleh Muhamad Fariz bin Azmi, Mahasiswa Tahun Akhir Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dengan Multimedia, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.

https://www.jejaktarbiah.com/product/tetamu-tuhan-50-hari/

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.