Negeri 5 menara sebuah tinta nukilan A. Fuadi dan merupakan buku pertama dari sebuah trilogi. Berkisar tentang persahabatan, kekeluargaan dan bagaimana mimpi serta impian itu tidak patut dipandang enteng. Setiap dari kita punya cita-cita, tidak kira dari mana kita lahir dan dari mana asal usul kita, semakin kita membesar dan semakin kita punya fikiran, seiring dengan itu kita akan mula bermimpi yang besar-besar.
Ada orang menyamakan mimpi dengan angan-angan, ada juga orang yang mengatakan jangan bermimpi tinggi kelangit takut jatuh terpasak dibumi. Tapi itu semua kata orang, hakikat yang menentukan adalah sejauh mana usaha kita mengejar mimpi itu. Negeri 5 menara ternyata mengajar kita untuk bermimpilah hingga ke langit yang tertinggi, jangan pernah meremehkan mimpi dan impian kerana sungguh Tuhan itu Maha mendengar.
Lembar demi lembar dari bab 1 saja sudah membuatkan mata ini basah dan bulu romaku merinding dengat hangatnya kisah persahabatan mereka. Element kejutan membuatkan perasaan ingin tahu aku semakin mengebu untuk ke bab seterusnya. Kisah Alif sebagai teraju watak utama sangat mengesankan. Seorang yang anak remaja yang tinggalnya hanya di daerah Minagkabau lalu disuruh masuk ke sekolah agama sedang cita-citanya mahu menjadi seperti Habibie kerana minatnya dalam jurutera atau ahli ekonomi. Langsung sang ibu ayah pula mahu Alif menjadi seperti Buya Hamka.
“Menjadi pemimpin agama lebih mulia daripada jadi jurutera , nak..” madah sang ibu yang mahu anak yang dicintainya menginfakkan diri pada agama.
Dan dalam fikiran yang kacau memberontak tidak boleh masuk SMA (Sekolah Menengah Atas) lalu alif bersetuju untuk ke sekolah agama namun harus nun jauh di Jawa. Ya, ini keputusan setengah hati. Namun rencana Tuhan tidak pernah silap. Di pondok Madani, Alif lalu menemui pengalaman hidup yang maha berharga. Mantera man jadda wa jadda (siapa yang bersunguh-sungguh, dia berjaya) adalah pelajaran pertama Alif di Pondok Madani. Ternyata mantera ajaib berbahasa Arab ini menjadi kata mutiara sederhana tapi kuat buat alif dan seisi pelajarnya.
Bertemu dengan lima lagi kawanan iaitu Said, Dulmajid, Raja, Baso dan Atang.. ternyata membuat Alif semakin teguh raganya. Bersama mereka, Alif meneladani hari-hari di Pondok Madani. Semuanya bermula apabila mereka berenam telah didenda menjadi jasus (mata-mata) kerana lewat ke masjid pada hari pertama lagi. Memetik ayat dalam buku ini,
“Penderitaan bersamalah yang menjadi simen kepada persahabatan yang rapat.”
Sejak mereka didenda menjadi jasus, sahabat berenam ini sering berkumpul dan belajar bersama. Said lalu mencadangkan mereka berkumpul setiap hari dibawah menara masjid. Tamannya indah redup dan nyaman. Mereka selalu menatap langit dari menara masjid yang indah itu. Bercerita mengenai impian-impian. Bagaikan menara, cita-cita mereka tinggi menjulang dan mereka mahu sampai di puncak mimpi kelak.
Disebabkan mereka sering berkumpul dibawah menara, lalu mereka diberi julukan Sahibul Menara oleh teman-teman yang lainnya. Sahibul didalam bahasa arab menunjukkan kepunyaan seseorang atau erti kata lain sebagai sahabat. Said dengan bangga menjadikan tiap mereka sebagai menara 1 (Said sendiri), menara 2 (Raja), menara 3 (Alif), menara 4 (Atang), menara 5 (Dulmajid) dan menara 6 (Baso). Setiap dari mereka lalu mengukir impian masing-masing selepas asar sementara menunggu maghrib di atas awan menara.
Lalu kenapa hanya 5 menara sedang mereka berenam? Apakah liku-liku yang menjadikan sekam didada Alif membara sehingga punya niat untuk keluar dari Pondok Madani? Dan apakah cita-cita Sahibul Menara ini dapat direalisasikan?
Kisah yang sangat mengharukan. Perjalanan hidup yang penuh pengajaran. Penulisan A. Fuadi santai dan mudah difahami disertakan lawak jenaka yang membuat kita tersenyum ketika menghadamnya tetapi ternyata bukan jenaka kosong. Setiap baris ayat dan aksara sentiasa berhasil membuat kelopak mata ini basah dan hati ini segar bernyawa.
Selain penulisannnya yang indah, disetiap bab kaya dengan selitan bahasa arab dan kata-kata pujangga arab yang indah-indah. Justeru aku sangat senang sekali kerana sentiasa terbayang saat belajar bahasa arab dahulu ketika di sekolah. Bahasa Al-Quran yang sangat menakjubkan dan juga merupakan bahasa syurga. Jangan risau, disertakan dengan terjemahan sekali pada setiap bahasa arab yang ditulisnya.
Negeri 5 menara juga mengangkat kisah dan sejarah orang Minangkabau. Bagaimana dari seremeh-remeh adat sehingga yang sebesarnya. Buku ini bukan sekadar lembar kisah kehidupan tetapi juga terselit fakta yang menunjukkan penulis kagum dengan negeri kelahirannya. Tidak itu sahaja, setiap nukilannya membuatkan kita berasa amat dekat sekali kerana tulisannya yang jelas lalu kita dapat membayangkannya di dalam lensa fikiran kita. Andai wataknya sedih, nescaya kita yang membacanya menangis, andai wataknya gembira ternyata kita kan tertawa sama.
Teringat akan satu bab dimana Alif dan Baso mengikut Atang ke Bandung dan bertemu pula Sahibul Menara yang lain iaitu Raja di Surabaya. Bagi aku itu sangat mengesankan kerana perjalanannya bagaikan sebuah travelog. Membuatkan aku terfikir sekiranya bermusafir ke Indonesia, Bandung adalah tempat wajib yang perlu aku lawati. Begitu juga dengan Surabaya. Dan yang paling aku kagumi lewat halaman buku ini ialah bagaimana A. Fuadi dapat membuatkan aku berani bercita-cita. Berani untuk menggapai impian yang besar-besar dengan mengangkat kalimat
“Jangan pernah meremehkan impian, walau setinggi apapun. Tuhan sungguh Maha Mendengar.”
Buat kalian yang takut dengan kehidupan dan masa depan, buku ini akan membawa mata kalian ke sisi lain bagaimana manisnya hidup itu datang setelah kita lelah-lelah berjuang.
“Man jadda wajada, sesiapa yang bersungguh-sungguh akan berjaya !”
Disediakan oleh: Anis Raihan Babas
Kemaskini: 12 Januari 2022