Pada bulan Ramadan, kita berpeluang untuk melaksanakan pekerjaan tanpa sebarang kesukaran yang mengganggu ibadah sepanjang berpuasa. Walau bagaimanapun, sebahagian individu yang dikecualikan daripada solat dan berpuasa iaitu kaum perempuan yang mengalami keuzuran seperti haid atau nifas.
Oleh hal demikian, haid merupakan suatu keadaan yang memaksa kaum wanita berhenti sejenak daripada melakukan ibadah fardu. Meskipun begitu, wanita yang datang haid tidak dilarang atau disekat sama sekali mengerjakan amalan-amalan yang bersesuaian dengan keadaan mereka. Di antaranya ialah,
1. Berdoa adalah antara amalan paling mudah dilakukan sepanjang wanita mengalami haid. Seorang wanita boleh berdoa pada bila-bila masa yang disukainya.
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ
Dan Tuhanmu berfirman: “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri daripada menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina.” [Surah Ghafir: 60]
2. Berzikir. Terdapat banyak zikir yang telah diajarkan di dalam al-Quran dan hadis. Misalnya, tasbih (Subhana-Allah) 33 kali, tahmid (alhamdulillah) 33 kali, dan takbir (Allah Akhbar) 34 kali.
3. Istighfar. Memohon keampunan atas segala kekhilafan dengan memperbanyakkan istighfar. Nabi shallahu alaihi wa sallam bersabda,
إِنَّهُ لَيُغَانُ عَلَى قَلْبِى وَإِنِّى لأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ فِى الْيَوْمِ مِائَةَ مَرَّةٍ
“Ketika hatiku malas, aku beristighfar kepada Allah dalam sehari sebanyak seratus kali.” [Shahih Muslim no. 2702]
4. Berselawat adalah salah satu cara membuktikan rasa cinta kepada junjungan Nabi shallahu ‘alaihi wa sallam. Perbanyakkan selawat sebagai tanda mengingati Rasul yang diutuskan kepada manusia. Lafaz selawat paling ringkas ialah,
للَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
مَنْ صَلَّى عَلَىَّ وَاحِدَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ عَشْرًا
“Barangsiapa yang berselawat kepadaku sekali, maka Allah akan selawat kepadanya sepuluh kali”. [Shahih Muslim no. 408]
5. Mendengar tazkirah. Perkembangan teknologi terkini banyak mewujudkan saluran media seperti YouTube, Channel, Radio dan sebagainya. Siaran berkaitan ilmu agama sentiasa di udara buat para pendengar. Maka, tiada alasan lagi sekiranya kaum wanita tidak berkesempatan menambah ilmu agama semasa haid.
Tambahan pula, kaum wanita boleh menghadiri majlis-majlis ilmu sama ada di rumah atau di luar rumah. Antara kelebihan menghadiri majlis ilmu ialah para malaikat akan memenuhi ruang rumah yang ada majlis ilmu di dalamnya. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِى بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلاَّ نَزَلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلاَئِكَةُ وَذَكَرَهُمُ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ
“Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah satu rumah Allah membaca Kitabullah dan saling mengajarkan satu dan lainnya melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), akan dinaungi rahmat, akan di keliling para malaikat dan Allah akan menyebut-nyebut mereka di sisi makhluk yang dimuliakan di sisi-Nya.” [Shahih Muslim no. 2699, daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu]
6. Membaca buku. Bacalah buku-buku berkaitan sirah, motivasi, hukum-hakam, hadis, dan biografi. Penulis juga menyarankan agar membaca buku berkaitan fikah kewanitaan seperti permasalahan haid, nifas, istihadah dan sebagainya. Pilihlah buku-buku yang berkenan di hati.
7. Sedekah. Meskipun tidak mampu menjalankan kewajipan berpuasa, maka rebutlah pahala dengan memperbanyakkan sedekah dan menyediakan makanan buat mereka yang berpuasa. Rasulullah sallahu ‘alahi wa sallam bersabda,
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا
“Sesiapa memberi makan orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa tersebut sedikit pun.” [Sunan Tirmidzi no. 807. Sahih oleh Syaikh Nasiruddin Al-Albani dalam Sahih Sunan Tirmidzi]
8. Membaca Al-Quran. Terdapat perbezaan pandangan di antara para ulama dan ilmuwan tentang membaca al Quran ketika datang haid. Setelah melakukan sedikit kajian, terdapat pendapat yang lebih mendekati kepada kebenaran iaitu tidak membaca al-Quran secara lisan ataupun lidah melainkan di dalam hati dan seeloknya memakai sarung tangan.
Komentar Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah dalam kitabnya Al-Fatawa berkenan wanita haid membaca al-Quran,
“Pada dasarnya tidak ada hadis yang melarang wanita membaca Al-Quran. Sedangkan pernyataan wanita haid dan junub tidak boleh membaca ayat Al Quran bersumber daripada hadis yang tidak sahih menurut kesepakatan para ahli hadis.”
“Seandainya wanita haid dilarang membaca Al-Quran seperti halnya solat, padahal pada zaman Nabi ﷺ kaum wanita juga mengalami haid, tentu hal ini termasuk yang dijelaskan Nabi ﷺ kepada umatnya dan diketahui para isteri baginda sebagai ibu kaum mukminin, serta disampaikan para sahabat kepada khalayak.
Namun tidak ada seorang pun yang menyampaikan bahawa ada larangan daripada Nabi ﷺ dalam permasalahan ini. Kerana itu tidak boleh dihukum haram selama diketahui bahawa Nabi ﷺ tidak melarangnya. Jika Nabi ﷺ tidak melarangnya padahal banyak pula wanita haid pada zaman Baginda, bererti hal ini tidak haram hukumnya.”
“Kesimpulannya, lebih utama bagi wanita haid tidak membaca Al-Quran secara lisan kecuali jika diperlukan. Misalnya seorang guru wanita yang perlu mengajarkan Al-Quran kepada muridnya atau seorang murid perlu diuji dalam membaca Al-Quran pada waktu ujian.”
[Darah Kebiasaan Wanita, hal.26-27, Syaikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin. Cetakan ke-II/Mei 2006. Terbitan Yayasan al-Sofwa, Jakarta]
Syaikh Soleh Al-Uthaimin berpendapat bahawa,
“Jika hanya dengan mata atau dibaca di dalam hati tanpa diucapkan dengan lidah maka tidaklah mengapa. Misalnya mushaf atau lembaran Al-Quran diletakkan di hadapannya, lalu dia memandang ayat-ayat dan membaca di dalam hati, maka menurut An-Nawawi dalam Syarh ul-Muhadzab, “Hal ini boleh, tanpa perbezaan pendapat.”
“Jika diucapkan dengan lidah, maka menurut pendapat jumhur ulama hal ini dilarang dan tidak boleh. Menurut Al-Bukhari, Ibnu Jarir at-Thabari dan Ibnu Munzir hal ini boleh tanpa ada perbezaan pendapat. Seperti ini juga diriwayatkan daripada Malik dan Asy-Syafi’i pada qaul qadim seperti yang termaktub dalam Fath ul-Bahri. Al-Bukhari menyebutkan sebuah komentar daripada Ibrahim An-Nakha’i, “Tidak mengapa perempuan itu membaca ayat Al-Qur’an.”
[Sahih Fiqh Wanita Menurut Al-Qur’an dan As-Sunnah, hal.65, Syaikh Muhammad Soleh al-Uthaimin. Cetakan ke-7. Terbitan Akhbar Media]
Seterusnya, pendapat Syaikh Soleh Al-Uthaimin lagi menyatakan,
“Yang lebih utama, orang yang tidak dalam keadaan suci tidak boleh menyentuh mushaf. Adapun jalan keluar bagi perempuan yang sedang haid adalah mudah, dimungkinkan baginya untuk memakai sarung tangan dan membolak-balikkan mushaf dengan kedua tangannya serta memegangnya.”
[300 Dosa Yang Diremehkan Wanita halaman 269 (Lihat catatan kaki) Syaikh Nada Abu Ahmad. Cetakan 3 September 2012. Terbitan Kiswah Media]
Umat Islam diwajibkan menahan makan dan minum atau apa saja perkara-perkara yang boleh membatalkan ibadah puasa. Sesungguhnya, Allah taala menyeru umat Islam berpuasa kerana ia merupakan perintah daripada-Nya dan wajib ditunaikan sebagaimana firman Allah yang menyebutkan,
يٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” [Surah Al-Baqarah : 183]
Syaikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin, ulama tersohor dari Arab Saudi ketika menafsirkan ayat ini menyebutkan sekali hikmah berpuasa iaitu,
“Maka orang yang berpuasa itu diperintahkan agar bertakwa kepada Allah Ta’ala, iaitu dengan menjalani puasa ikhlas semata-mata kerana-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Dan ini merupakan tujuan terbesar daripada ibadah puasa. Dan bukanlah tujuan puasa itu untuk menyeksa orang yang berpuasa dengan meninggalkan makan, minum dan berhubungan badan.”
[Meraih Syurga Bulan Ramadan (Fushul Fi Siyam), hal.13-14. Pustaka Al-Minhaj. Syaikh Muhammad Bin Soleh Al-Uthaimin]
Tuntasnya, dalam menggali hikmah berpuasa yang disyariatkan, kaum wanita yang berhaid dituntut agar tidak melepaskan peluang ini ketika bulan ramadhan. Sesungguhnya, Islam merupakan agama yang syumul dan adil dalam memberikan penyelesaian terbaik.
Waktu haid ialah waktu bagi seorang wanita memenuhi kegiatan harian dengan hal-hal yang berfaedah. Meninggalkan amalan-amalan yang memiliki ganjaran pahala, tentu memberi kerugian besar disebabkan tempoh haid sangatlah panjang. Maka, seorang wanita perlu mengisi tempoh haidnya dengan aktiviti-aktiviti bermanfaat dan mengamalkan tip-tip yang diberikan. Wanita yang datang haid juga boleh beramal dan mendapatkan pahala lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan.
Disediakan oleh,
Syuhara Suriati