Sebahagian masyarakat kita ramai yang tidak tahu atau mungkin menganggap remeh berkaitan tatacara berbual dengan rakan ataupun orang-orang sekeliling. Kepentingan menjaga adab dalam berbicara sesama rakan, atau dalam keadaan apa sekalipun seharusnya dititikberatkan demi menjaga hubungan silaturahim dan menghindari kata-kata yang tidak bermanfaat seperti meremehkan atau merendahkan orang
Tahukah kalian, akhlak seseorang boleh dinilai dari cara dia berbicara? Ini kerana hal yang paling mudah mengungkapkan isi hati adalah dengan berbicara. Kerana itu tutur kata mencerminkan akhlak seseorang. Sesesorang boleh disukai dan diminati kerana tutur katanya yang baik, begitu juga sebaliknya sesesorang tidak disukai kerana selalu menghambur perkataan yang tidak baik dan kurang menyenangkan.
Berikut merupakan lapan adab ketika berbual yang perlu dititikberatkan bagi menambah baik komunikasi sedia ada.
1. Hendaklah berbicara sesuai dengan keadaan, situasi atau dalam konteks kefahamannya.
2. Berbicara yang baik atau diam. Mencari perkataan yang sesuai dan terbaik sebelum memberi pandangan atau pendapat kepada rakan berbual. Intinya, berfikir terlebih dahulu apa yang ingin disampaikan, kerana kata-kata yang baik juga adalah ibadah jika diniatkan untuk kebaikan.
3. Melatih diri untuk menjadi pendengar dan tidak mendominasi situasi dalam perbualan, dengan merasakan diri sendiri lebih baik dan lebih faqih dalam setiap isu yang diutarakan. Seperti mana kita beradab ketika berbicara seharusnya kita juga beradab ketika mendengar.
4. Hindari hal-hal yang tidak jelas, tidak mudah menunjing perkataan dari seorang rakan kepada rakan yang lain atau menceritakan semua hal yang kita ketahui.
5. Menjaga rahsia, meskipun tidak diminta untuk merahsiakan perbualan tertentu. Ini kerana ketika seseorang berbicara dengan kita ini bermakna dia mempercayai kita menjadi rakan berkongsi cerita. Jadilah seorang pendengar yang amanah.
6. Tinggalkan perdebatan, apabila terdapat satu pihak yang mulai terbawa emosi, seperti meninggikan suara atau melemparkan kata-kata yang kurang menyenangkan, mengalah kerana Allah, walaupun kita berada dalam kebenaran. Demi menjaga kemaslahatan dan tali persaudaraan dua hati.
7. Berusaha memberi perhatian kepada rakan yang sedang bicara, dengan melihat wajahnya dan tidak berbicara sambil melihat telefon bimbit atau semisalnya yang dapat mengalihkan perhatian kita. Fokus kepada orang yang sedang berbicara juga salah satu tanda kita menghargainya.
8. Perkara yang boleh membuat orang lain terasa atau mungkin tersinggung jangan dilanjutkan, semua hal yang boleh merosak hati kita dan rakan perlu dihindari.
Berkomunikasi merupakan ladang pahala, seperti kata Nabi SAW kata-kata yang baik adalah sedekah, carilah pahala dengan menuturkan perkataan yang baik. Menjauhi segala bentuk perkataan yang membawa kepada kemaksiatan dan kemungkaran.
Rasulullah SAW pernah menasihati Muadz Bin Jabal “Mahukah aku beritahu kepadamu tentang kunci semua perkara itu?
Muadz bin jabal menjawab “ya, wahai Rasulullah”.
Maka Beliau pun memegang lidahnya dan bersabda, “Jagalah ini.”
Aku bertanya “Wahai Rasulullah, apakah kami dituntut disiksa kerana apa yang kami katakan?”
Maka Beliau bersabda, ” Adakah yang menjadikan orang diseret mukanya atau ada yang meriwayatkan batang hidungnya di dalam neraka selain ucapan lisan mereka. (HR Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Dalam hadis yang lain pula, Rasulullah SAW juga bersabda :
“Keselamatan manusia tergantung pada kemampuannya menjaga lisan.” (HR.Bukhari).
Didiklah hati, dengan nilai-nilai murni dengan menerapkan langkah-langkah yang dapat mendorong hati ke arah perbuatan dan pertuturan yang tidak lain hanya berintikan sebuah kebaikan, nasihat dan motivasi. Kerana lisan adalah kunci segala kebaikan.
Disediakan oleh: Aishah Nerina