Kadang-kadang buku-buku di dalam rak hanya menjadi penyedap mata dan koleksi perhiasan rumah. Buku yang dibeli pada minggu lepas belum tentu dijamah dan dibaca. Sebahagian dalam kalangan kita gemar membeli buku dalam kuantiti yang banyak tetapi jarang sekali menghabiskan bacaannya. Barangkali buku yang dibeli hanya sekadar terapi diri dan dijadikan sebagai biblioterapi.
Tanya diri kita. sendiri;
Berapa buah buku yang berjaya dikhatamkan dalam masa setahun? Sejauh mana pula kandungan buku-buku tersebut berhasil melunturkan kejahilan kita dan mencerdikkan minda yang hampir lumpuh? Seriuskah kita dalam membaca?
Cuba renungkan buku-buku yang terletak dan tersusun kemas serta rapi. Pernah atau tidak kita bersikap jujur membacanya sehingga habis? Barangkali kita pernah culas dan gagal.
Menghabiskan bacaan sebuah buku yang dibeli dalam tempoh tertentu mencerminkan disiplin seorang individu. Iklan buku yang menggoda kerap memaksa kita memenuhkan troli pembelian.
Saya kongsikan enam tips ini agar dapat membantu pembaca mengatasi masalah kesukaran menghabiskan bacaan buku secara ringkas dan mudah.
1. Jauhi telefon bimbit
Telefon bimbit antara alat komunikasi yang wajib ada oleh setiap individu. Namun, bagi pencinta buku dia wajib bermusuh dengan telefon bimbit seketika. Telefon bimbit menawarkan pelbagai aplikasi kegemaran seperti Facebook, Twitter dan Instagram yang boleh melalaikan pengguna sehingga berjam-jam lamanya. Jika tidak cakna dan leka, kira-kira berapa jam disumbangkan hanya untuk bermain telefon bimbit sahaja. Fikirkan.
2. Curi masa.
Ya, pencinta buku mesti mencuri masa. Mengambil satu waktu hanya khusus aktiviti-aktiviti membaca. Sehari boleh diperuntukkan satu jam untuk kegiatan membaca. Bagi yang sibuk namun tetap mahu membaca boleh asingkan 30 minit waktu pagi dan 30 minit pada waktu malam.
3. Habiskan membaca buku yang dibeli dahulu.
Harga buku yang ditawarkan mendesak transaksi pembelian dilaksanakan. Amalkan pembelian di atas talian apabila telah selesai membaca buku sebelumnya. Kadang kala Pesta Buku pula diadakan pada tarikh tertentu dalam keadaan buku belum habis dibaca. Bagaimana? Membeli buku pada waktu ini amatlah disarankan kerana Pesta Buku jarang-jarang diadakan. Sebahagian buku-buku yang dipamerkan hanya dijumpai pada waktu Pesta Buku sedang berlangsung dan harganya jauh lebih murah. Akan tetapi, cubalah belajar habiskan bacaan sebelum itu walaupun buku-buku baharu telah pun dibeli.
4. Kunci penggera.
Letak penggera masa ketika sedang membaca. Contoh, mula membaca jam 9 malam hingga 10 malam. Penggera akan berbunyi sebagai tanda isyarat berhenti membaca. Tujuannya adalah supaya pembacaan menjadi rutin seharian walaupun hanya dalam waktu yang singkat.
5. Kikis sifat malas.
Seorang pembaca wajib menghakis sifat malas. Semakin rajin membaca, semakin banyak ilmu didada. Maka, buku yang dibaca dapat dihabiskan mengikut tempoh yang ditetapkan.
6. Konsisten
Berterusan dan konsisten membaca supaya buku boleh dihabiskan dengan jayanya. Tidak perlu meluangkan waktu yang panjang dalam sehari ketika membaca. Satu jam sudah memadai untuk aktiviti membaca.
Jangan membiasakan diri membeli buku yang banyak namun tidak membacanya. Jangan pula membudayakan sikap mengikut-ikuti perbuatan orang lain membeli buku dalam keadaan bajet tidak mencukupi.
Suka saya ingatkan bahawa membazirkan wang yang banyak termasuk dalam kategori perbuatan buruk dan amalan syaitan. Oleh itu, kita harus berwaspada dan memastikan bahawa pembelian buku yang dilakukan tersebut berbaloi dan bermanfaat. Firman Allah subhanahu wa ta’ala,
إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا
“Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” [Surah al-Israa : 27]
Pernahkah kalian mendengar perkataan Tsundoku yang dipetik daripada bahasa Jepun?
Tsundoku bermaksud tabiat mahupun sikap seseorang membeli buku yang banyak tetapi tidak membacanya. Tsundoku adalah sejenis penyakit yang melanda pengemar-peggemar buku.
Sebagai seorang hamba yang mengabdikan diri kepada Tuhan, amalan membaca tersebut harus diperhatikan tujuannya dari segi kehendak agama. Tujuan dan sebab utama membaca buku bukanlah disebabkan kerana ingin berlumba-lumba menamatkan bacaan. Tetapi, membaca bertujuan untuk menambahkan dan memantapkan lagi ilmu pengetahuan.
Amalan manusia bergantung kepada niatnya. Jika rosak niatnya, maka rosak juga amalannya. Sebaliknya jika baik niatnya, maka baik pula amalannya dan dicatatkan kebajikan untuknya. Rasulullah s.a.w,
“Setiap amalan bergantung kepada niatnya.” [Shahih al-Bukhari no. 3898]
Tips ini berkemungkinan sesuai dan boleh jadi tidak sesuai menurut pilihan individu. Walau bagaimana pun, saya memetik nasihat seorang ulamak Madinah iaitu Profesor DR. Shalih bin ‘Abdil ‘Aziz bin ‘Utsman Sindi kata beliau,
“Dengan cara membaca dan memilih buku. Hendaknya anda menetapi sebuah buku lalu membacanya dari awal sampai akhir [hingga selesai] kemudian baru pindah ke buku yang lain. Demikian seterusnya.”
[11 Cara Efektif Mencatat Ilmu, hal.16, Wasathiyah wal I’tidâl Digital Publishing 2017 alwasathiyah.com. Prof. DR. Shalih bin ‘Abdil ‘Aziz bin ‘Utsman bin Sindi]
Justeru itu, sebagai seorang muslim kita perlu menjadi pembaca yang baik dan mukmin terbaik kepada Allah s.w.t. Membaca kerana mengharapkan redha daripada-Nya bukan dikerjakan semata-semata kerana ingin diperlihatkan kepada manusia.
Oleh itu, mulakan membaca dengan meluruskan niat. Semoga kita diberikan kecukupan masa, hidayah dan petunjuk daripada Allah s.w.t.
Selamat membaca!
Disediakan oleh,
Syuhara Suriati