Menulis ialah aktiviti berkongsi idea atau apa saja hal-hal yang terlintas daripada ufuk pemikiran manusia. Dengan cara menulis ini juga sebahagian individu mampu meluahkan segala yang pernah terpendam dan membekas di dalam jiwa serta minda.

Walau bagaimana pun dalam kemabukan mengekspresikan sesuatu perkara melalui pena ataupun tulisan, seorang penulis mempunyai tanggungjawab besar dalam setiap patah perkataan yang dilontarkan.

Penulis yang baik bukan sekadar penulis yang mampu menjentik hati setiap audiens yang membaca mesejnya. Tiap kali masyarakat tertipu mendengarkan madah bicara yang serba menyentuh jiwa. Walhal, di sebalik tulisan tersebut ia mungkin terdiri daripada unsur-unsur syubhat, kepalsuan dan tuduhan.

Oleh kerana itu, bagi mengelak daripada terjerumus ke dalam kancah yang merosakkan nama baik sang penulis, berikut merupakan enam ciri-ciri penulis yang baik dan bertanggungjawab yang perlu ada,

1. Jujur dalam penyampaian.

Penulis yang jujur ialah penulis yang menulis isi kandungannya mengikut fakta yang betul. Tidak mengambil karya orang lain untuk dijadikan sebagai bahan karyanya. Jujur dan tidak berbohong melainkan ia sebenarnya adalah hasil daripada karangan asli titik peluhnya sendiri. Plagiat ialah satu jenayah yang sedang memburu para penulis mapan ketika ini.

2. Menggunakan teks yang penuh

Penulis bertanggungjawab terhadap karyanya sekiranya terdapat pembaca tertentu yang tidak faham kerana tidak menggunakan teks yang penuh. Contohnya “sprti” tetapi sepatutnya dieja dengan penuh “seperti”. Walau bagaimana pun, dalam beberapa perkataan jika dieja mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka ada yang disingkatkan seperti perkataan “Shallahu ‘alaihi wa sallam” jika ditukar mengikut Kamus DBP menjadi “SAW” sahaja. Gunakan bahasa melayu penuh ketika menulis. Elakkan menulis seperti menggunakan bahasa ‘Wechat’ yang pelik-pelik.

3. Menulis kebenaran bukan kebatilan.

Apabila hendak menulis, tulislah mengenai perkara-perkara kebenaran yang dapat memperkembangkan lagi syiar Islam. Penulis yang turut berperanan mengajak manusia menyebarkan ajaran Allah dan Rasul-Nya. Di samping itu, menyedarkan orang ramai yang tengah hanyut dalam kemungkaran dan membawa mengerjakan kebajikan bersama. Jauhilah menulis isu yang mengundang perbalahan dan fitnah dalam kalangan masyarakat.

4. Sertakan rujukan.

Zaman moden ini semakin ramai yang bijak mengakses Google sebagai rujukan. Baik penulisan berbentuk ilmiah mahupun bukan sekiranya penulisan tersebut berbentuk fakta, penulis mestilah meletakkan sumber rujukan. Jika sumber daripada laman Google, maka sertakan link berkenaan. Jika sumber daripada buku, sertakan maklumat buku seperti nama buku, penulis buku, tahun terbit, tahun cetakan yang membuktikan bahawa fakta tersebut jelas diambil daripada rujukan sekian. 

Tujuannya adalah untuk mendapatkan kepercayaan yang kukuh daripada pembaca. Kemudian, pembaca mudah untuk menyemak mengenai fakta yang disebutkan dan menegur andai terdapat kesilapan daripada penulis.

Antara kesalahan biasa yang terjadi seperti menyatakan nama rujukan yang cukup ringkas seperti, “Tafsir Ibnu Katsir”. Namun, penulis yang cukup bertanggung jawab dan benar diambil daripada rujukan Tafsir Ibnu Katsir apabila menukilkan sekali rujukan tersebut secara detil.

Ini adalah disebabkan ada pihak tertentu yang mendakwa ia berasal dalam Tafsir Ibnu Katsir. Setelah disemak, sebetulnya ia sekadar disalin daripada laman-laman web tertentu. Sertakan sumber rujukan terutama sekali apabila kita bercakap hal-hal yang melibatkan urusan agama.

5. Menjaga tutur bicara.

Memastikan bahawa tulisan tersebut tidak mengandungi perkataan-perkataan menghina agama dan manusia. Penulis yang baik dan bertanggungjawab apabila dia berhasil menggunakan bahasa yang terkawal, sopan dan tidak ada unsur-unsur celaan ataupun makian. Ketahuilah, disebabkan lisan ia mampu menjauhkan pembaca dan mendekatkan pembaca.

6. Tidak bermusuhan dengan mana-mana pihak.

Jauhi bermusuhan dengan mana-mana pihak. Berada dalam bidang apa sekali pun pasti ada segelintir individu cuba berusaha menjatuhkan kerjaya kita secara senyap-senyap. Justeru itu, usahlah bermusuhan dengan sesiapa pun kerana ia tidak mendatangkan keuntungan dan kebahagiaan malah membantutkan lagi seni penulisan kita.

Menulis buku, artikel dan pandangan ia bukan hanya untuk menghiburkan hati dan berseronok-seronok sahaja bagi seorang penulis. Namun, ia lebih kepada amanah yang diminta pertanggungjawapan yang akan dinilai dan ditimbang buruk baiknya. Kelak setiap ucapan yang terkeluar ataupun tercatat dalam lembaran kertas akan ditanya oleh Allah SWT.

Firman Allah taala,

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِۦ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولٰٓئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawapnya.” [Sudah Al-Isra’:36]

Saya akhiri dengan satu ucapan daripada penulis buku yang disegani ramai iaitu Kapten Hafiz Firdaus Abdullah,

“Jangan menulis untuk meraih kemasyhuran, kekayaan atau apa-apa tujuan duniawi yang lain. Jika anda menulis ikhlas kerana Allah, Allah akan membantu penulisan anda. Jika anda menulis kerana sebab selain Allah, maka Allah akan membiarkan anda.”

[Berdakwah Melalui Penulisan Efektif, hal. 12. Penerbit Jahabersa. Cetakan Pertama: 2008. Penulis: Hafiz Firdaus Abdullah]

Disediakan oleh,

Syuhara Suriati


Hantar karya anda di emel [email protected].

Karya yang terpilih akan disiarkan di laman web Jejak Tarbiah dan mendapat baucar buku RM30!

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.