5 SEBAB KENAPA ANDA WAJIB KE PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR 2019

6

Pesta buku datang lagi! Bakal berlangsung selama 10 hari bermula 29 Mac hingga 7 April 2019, para pencinta buku, penulis, dan penerbit akan meraikan ‘hari raya’ mereka dengan pameran serta jualan buku secara besar-besaran di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL). Seperti biasa, pada tahun ini pihak penganjur masih mengekalkan tradisi dengan mengadakan PBAKL di lokasi pilihan ramai iaitu Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.

Menurut laman web rasminya, jumlah pengunjung PBAKL pada tahun 2017 ialah seramai 1.8 juta orang. Jika anda pernah ke PBAKL sebelum ini, anda pasti dapat melihat sendiri betapa padatnya PWTC dengan lautan manusia terutamanya pada hujung minggu. Bagi memberi peluang lebih ramai lagi orang awam mengunjungi PBAKL pada tahun ini, waktu operasi juga telah diubah kepada 10 pagi hingga 9 malam pada setiap hari, bukan pada hari tertentu sahaja seperti sebelum ini.

PBAKL boleh dikatakan sebagai pesta buku yang paling dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia, tanpa mengira umur, bangsa, dan agama. Bagi para pencinta buku, PBAKL diletakkan di bawah kategori acara perbukuan tahunan yang wajib dihadiri. Sebaik pihak penganjur umumkan tarikh PBAKL, terus ditandakan pada kalendar. Ada yang sanggup memohon cuti dan bermusafir dari luar Kuala Lumpur semata-mata tidak mahu ketinggalan untuk berada di pesta buku ini.

Ada beberapa sebab kenapa PBAKL masih relevan bagi para pencinta buku di Malaysia dan menjadikan ia sebagai pesta buku yang wajib dikunjungi semua termasuk anda!

1. Jualan buku pelbagai genre di bawah satu bumbung

Secara purata, pada setiap tahun kira-kira 700 pempamer buku akan membuka reruai mereka di PBAKL. Setiap pempamer pula menawarkan pelbagai buku dengan genre yang berbeza. Oleh itu, PBAKL adalah tempat yang tepat untuk dikunjungi bersama keluarga dan rakan-rakan walaupun buku yang diminati masing-masing adalah berbeza. Tambahan pula, PBAKL tahun ini diadakan sepanjang cuti sekolah. Para ibu bapa dan guru, apa yang ditunggu lagi. Jangan lupa masukkan PBAKL sebagai salah satu tempat lawatan pada cuti sekolah nanti.

Berbanding kedai buku biasa, pilihan buku di PBAKL lebih banyak dan terkini. Di pesta buku ini jugalah anda berpeluang untuk mendapatkan buku yang agak sukar didapati di kedai buku arus perdana. Selain pempamer buku tempatan, PBAKL turut disertai pempamer dari luar negara (nama pun Pesta Buku Antarabangsa, kan?). Setakat ini, antara negara yang pernah menyertai PBAKL adalah Brunei, Syria, Arab Saudi, Kuwait, Mesir, Indonesia, Singapura, Lubnan, Iran, dan United Kingdom. Pada tahun 2018, Arab Saudi dan Indonesia merupakan negara tamu PBAKL. Untuk tahun ini, pihak penganjur masih belum lagi mengumumkan negara tamu yang bakal terlibat. Sama-sama kita nantikan pengumumannya.

2. Harga buku yang lebih murah daripada biasa

Apabila ada pesta buku besar-besaran seperti ini, tiada lain yang dikejar kebanyakan pengunjung selain diskaun untuk buku yang dibeli. Buku-buku di PBAKL dijual dengan harga yang lebih murah bagi menghabiskan stok buku-buku lama dan promosi kepada buku yang baru diterbitkan. Tempoh PBAKL berlangsung yang singkat juga menjadi faktor para pempamer menurunkan harga buku supaya dapat menarik lebih ramai pembeli, sekaligus mencapai target jualan mereka. Membeli buku secara terus di reruai penerbitnya juga membolehkan pembeli menikmati diskaun yang lebih menguntungkan. Namun begitu, perlu diketahui bahawa tidak semua buku dijual dengan harga yang lebih murah. Jadilah pembeli yang bijak dengan merancang pembelian dan melihat terlebih dahulu iklan jualan buku sempena PBAKL di laman web atau media sosial pempamer. Selain diskaun, sesetengah pempamer turut menawarkan hadiah percuma kepada pembeli.

Projek Bibliofil diterbitkan pada tahun lepas, 2018

3. Peluang bertemu penulis dan pencinta buku yang lain

Ibarat ‘hari raya’, di PBAKL inilah para pencinta buku yang terdiri daripada penulis dan pembaca berkumpul. Para penulis yang selama ini berada di sebalik media sosial akan memunculkan diri di reruai penerbit atau pentas bagi mempromosikan buku tulisan mereka. Di samping membeli buku, jangan lupa untuk mendapatkan tanda tangan dan bergambar dengan penulis kesayangan anda jika berpeluang. Ia pasti menjadi kenangan dan cenderahati yang berharga. Siapa tahu, pada masa akan datang buku dengan tandatangan penulis itu menjadi buruan para pengumpul buku dan mereka sanggup membayar harga yang tinggi untuk memilikinya.

Penulis menangkap gambar bersama peminat pada PBAKL tahun lepas.

Jika pada hari biasa agak sukar untuk anda bertemu dengan pencinta buku lain yang meminati genre sama, di PBAKL anda berpeluang untuk bertemu mereka pada setiap masa dan di mana-mana. Bayangkan anda ke reruai buku diminati, kemudian ternampak seseorang sedang membelek buku yang pernah anda baca. Ia boleh menjadi pembuka kepada perbualan tentang buku yang anda simpan selama ini. Bagi pencinta buku yang sedang mencari jodoh, pasti anda impikan pasangan yang mencintai buku juga. PBAKL adalah tempat yang sesuai untuk mencari calon, bukan? Berdoalah dan lakukan sedikit usaha, seperti memulakan perbualan tentang buku, pura-pura terambil buku yang sama, atau lebih klasik lagi pura-pura terlanggar buku seperti dalam iklan shampu. Semoga doa anda dimakbulkan seperti penulis artikel ini yang telah bertemu jodoh di PBAKL tahun lepas. Insha Allah.

4. Peluang menyertai aktiviti menarik berkaitan buku

PBAKL bukan sekadar pesta untuk berjual beli. Selain jualan buku, pihak penganjur dan pempamer di PBAKL turut mengadakan pelbagai aktiviti-aktiviti menarik untuk para pengunjung. Jadi, walaupun anda tidak membawa wang yang banyak atau tenaga yang cukup untuk berjalan ke semua reruai, anda masih boleh menikmati kemeriahan suasana di PBAKL. Antara yang menarik adalah acara di pentas utama seperti sesi bedah buku, pelancaran buku, Sayembara Baca dan Kongsi, dan bermacam-macam lagi. Sebelum ke PBAKL, lihat terlebih dahulu jadual acara yang dikeluarkan pihak penganjur supaya anda tidak ketinggalan untuk berada di acara yang diinginkan.

Apabila sudah penat ‘bertawaf’ dalam dewan-dewan pameran, apa kata anda berehat di ruang Rehat dan Baca sambil mendengar perkongsian menarik daripada para penulis dan aktivis yang terlibat. Reruai-reruai pempamer juga tidak kurang yang mengadakan aktiviti menarik untuk para pengunjung. Pada tahun lepas, reruai negara tamu Arab Saudi telah mengadakan cabutan bertuah dan antara hadiah yang ditawarkan adalah visa haji! Reruai penerbit tempatan juga ada yang menawarkan cabutan bertuah dengan hadiah lumayan. Antaranya adalah penerbit Jejak Tarbiah yang menawarkan pakej kembara ke Padang, Indonesia, set Tafsir al-Azhar tulisan Buya Hamka dan rak buku Ikea. Bertuah sungguh siapa yang mendapatnya. Semoga pada tahun ini ada banyak lagi hadiah lumayan yang boleh dimenangi oleh para pengunjung di PBAKL.

5. Mengembalikan keterujaan terhadap buku dan membaca

Sibuk dengan kerja, media sosial, dan masalah-masalah dunia yang lain boleh menyebabkan seseorang itu hilang keterujaan untuk membaca atau menghadapi reader’s block. Bagi mengembalikan semula keterujaan tersebut, anda boleh ke tempat yang ada banyak buku, membeli beberapa buah buku yang diminati, dan bertemu pencinta buku lain. Tidak perlu runsing kerana di PBAKL, anda boleh melakukan semua perkara tersebut dalam satu tempat dan masa yang sama. Aktiviti memburu buku di PBAKL yang  boleh diibaratkan seperti mencari harta karun dapat membantu membangkitkan semula semangat cintakan buku yang telah luntur. Apabila buku sudah dibeli, pastilah ia perlu dibaca. Jangan sia-siakan wang yang telah dibelanjakan untuk buku. Baca, ambil manfaat, dan sebarkan ia kepada orang lain. Lebih bagus lagi, sertai pertandingan mengulas buku yang menawarkan hadiah berupa wang tunai. Inilah yang dikatakan ‘pulangan pelaburan’.

Seiiring dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia melancarkan kempen Dekad Membaca Kebangsaan bermula tahun 2020, sekaligus menjadikan Malaysia sebagai Negara Membaca menjelang 2030, slogan yang sama telah dipilih untuk PBAKL 2019 iaitu #MalaysiaMembaca. Sebagai rakyat Malaysia, marilah kita sama-sama menyokong dan merealisasikan hasrat ini bagi mengangkat Malaysia sebagai negara yang tinggi budaya membaca dan keilmuannya. Bagaimana? Mulakan dengan membaca sebuah buku dari sekarang. Jadikanlah tahun ini sebagai titik permulaan anda. Jom ke PBAKL 2019, beli buku bermanfaat, kongsikan kepada rakan-rakan, dan jangan lupa letakkan tanda pagar #MalaysiaMembaca!

Oleh: Zahrah Yunos

Share on facebook
Facebook
Share on google
Google+
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Share on pinterest
Pinterest

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *