Berkunjungnya Ramadan menjadikan sebahagian wanita menjalani jadual yang sangat padat tidak seperti hari-hari kebiasaannya. Seawal pagi bangun menyediakan makanan untuk bersahur dan di petang hari pula menyediakan juadah berbuka. Peranan dan tanggungjawab seorang wanita pada bulan Ramadan menjadi berlipat ganda. Kerana itu seharusnya setiap wanita perlu menjadi lebih peka membuat persiapan awal ketika menyambut bulan Ramadan agar aktiviti seharian tidak dihabiskan dengan sibuk menyiapkan makanan dan keperluan harian sahaja.
Perbincangan bersama pasangan amatlah diperlukan agar dapat melaksanakan menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan berkesan dan taratur.
1. Berbincanglah dengan pasangan tentang jadual yang telah dibuat, agar masing-masing saling membantu dalam urusan rumah tangga. Lebih-lebih lagi bagi pasangan yang sama-sama bekerja.
2. Tetapkan waktu khusus untuk beribadah, seperti solat malam dan membaca al-Quran bersama-sama ahli keluarga, ianya juga akan lebih mengeratkan hubungan kekeluargaan kerana pada hari kebiasaannya masing-masing sibuk dengan aktiviti harian.
3. Hadkan penggunaan gajet dan media sosial seperti kebiasaan dan fokus kepada memperbanyak amalan.
4. Melatih diri menyusun masa dengan lebih baik dan efektif agar dapat menyempurnakan amal ibadah yang berlipat ganda, tanpa melalaikan tanggungjawab yang lain. Menyusun perancangan awal sangat membantu para wanita menguruskan pekerjaan harian mereka.
5. Mempersiapkan diri dan keluarga menjalani ibadah puasa dengan lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya, bukan sahaja memperbanyakkan bacaan al-Quran, zikir dan istighfar pada bulan suci ini tetapi memperbanyakkan sedekah kepada golongan yang memerlukan, ajaklah anak-anak agar mereka faham dan belajar tentang sifat empati dan berkongsi dengan golongan yang kurang berkemampuan. Secara tidak langsung mereka akan memahami tujuan berpuasa itu bukan sekadar menahan lapar dan dahaga sahaja tetapi turut melatih diri untuk turut sama merasai kehidupan orang-orang yang kurang berkemampuan.
Dalam satu hadis Nabi S.A.W bersabda,
“Manusia yang paling dicintai Allah adalah yang paling bermanfaat bagi manusia lainnya.”
(Hadits shahih dishahihkan Syaikh Albani dalam Al-Hadits Ash-Shahihah No.906)
Sesungguhnya di antara nikmat paling besar daripada Pencipta kepada seorang hamba adalah taufik untuk melaksanakan ketaatan kepada-Nya. Bersemangatlah wahai para wanita muslimah dalam rangka ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Semoga memperoleh keampunan dan pahala yang berlipat ganda di bulan suci ini.
“Dan untuk yang demikian itu hendaknya mereka berlumba-lumba.” (Al-Muthaffifiin : 26)
Bergembira dan berbahagialah kerana Allah SWT “menghadiahkan” bulan yang penuh keampunan dan rahmat-Nya. Kerana itu raihlah sebanyak mungkin pahala dengan melipatgandakan amal soleh.
Disediakan oleh :
Aishah Nerina
Sandakan, Sabah.