Setiap orang pasti memiliki seorang sahabat. Tidak kira lah sahabat itu dari kalangan kawan, adik-beradik, ibu bapa, atau saudara lainnya. Bahkan ada yang menjadikan haiwan peliharaan seperti kucing sebagai peneman setianya. Namun, sebaik-baik sahabat setelah teman yang soleh adalah Al-Quran.

Satu hari nanti, sahabat juga pasti meninggalkan kita. Tetapi Al-Quran akan sentiasa ada di sepanjang perjalanan hidup kita. Ketika kita merasa payah untuk berdamping dengan Al-Quran, renungilah firman Allah SWT :

“Kami tidak menurunkan Al-Quran ini kepadamu agar kamu menjadi susah.” (Thoha : 2)

Dalam artikel ini, sukacita saya ingin kongsikan petua-petua agar lebih bersemangat untuk mendekati al-Quran. Untuk pengetahuan pembaca sekalian, petua ini saya kumpulkan berdasarkan pengalaman saya sendiri. Moga kita semua dimudahkan untuk lebih menghayati kalam-Nya.

  1. Rutinkan membaca Al-Quran 1 Juzuk 1 hari. Cara yang biasa saya lakukan adalah dengan membaca dua lembar Al-Quran (4 muka surat) setiap kali selepas solat fardu. Maka lima waktu sehari genap satu juzuk. Cara ini amat membantu agar membaca Al-Quran terasa ringan dan lebih lancar. Jika kita boleh membaca kisah yang kurang bermanfaat di media sosial sehingga berjam-jam lamanya, mengapa kita tidak boleh luangkan sedikit waktu untuk mengisi bekal akhirat kita?
  1. Membaca Al-Quran berserta terjemahan sangat digalakkan bagi yang tidak memahami bahasa Arab. Al-Quran seperti ini boleh didapati di mana-mana dengan harga yang semua mampu milik insha-Allah. Membaca al-Quran berserta terjemahan adalah lebih baik kerana kita bukan sekadar membaca, tapi juga faham apa yang dibaca. Janganlah kita menjadi seperti yang disebutkan dalam pepatah Arab :

“Bagaikan keldai yang membawa kitab-kitab di atas belakangnya.”

Maksudnya, banyak manapun kitab yang dibawa oleh keldai tersebut, sedikit pun tidak ada manfaat baginya kerana tidak mengetahui isi kandungan kitab itu. Oleh itu, berusahalah untuk membaca sekaligus memahami agar mesej-mesej di dalam Al-Qur’an itu lebih terkesan di dalam sanubari.

  1. Memiliki Al-Quran terjemahan dengan tafsir tematik. Terdapat juga Al-Quran terjemahan yang mengandungi tafsir ayat-ayat pilihan. Selain mengisi masa lapang dengan membaca Al-Quran, kita juga dapat menambah sedikit ilmu tafsir Al-Quran walaupun tafsirnya tidaklah secara menyeluruh. Sekurang-kurangnya sedikit usaha itu memadai daripada langsung tidak ada. Jangan remehkan sekecil-kecil kebaikan yang kita lakukan kerana kita tidak tahu kebaikan manakah yang dengan rahmat-Nya akan membawa kita ke syurga. 

Daripada Abu Dzar, Rasulullah SAW bersabda,

“Jangan sekali-kali kalian menganggap remeh suatu kebaikan walaupun hanya bertemu saudaramu dengan wajah berseri.” (Hadis riwayat Muslim, no. 2629)

Sedangkan berwajah manis sahaja kita dilarang menanggapinya remeh, apatah lagi mendalami makna Kalamullah?

  1. Jauhi muzik. Muzik adalah bencana yang besar bagi umat zaman ini. Tidaklah muzik membawa sesuatu melainkan kemudaratan bagi setiap orang yang mendengarkannya. Hal ini dikuatkan lagi dengan sabda Rasulullah SAW yang mengharamkan muzik :

“Sungguh akan ada sebahagian dari umatku yang menghalalkan zina, sutera, khamr dan alat-alat muzik.” (Hadis riwayat Bukhari, no. 5590)

Jelaslah bahawa muzik itu sesuatu yang batil hatta seseorang yang ingin mendekati Al-Quran harus menjauhi muzik kerana tidak mungkin yang haq (Al-Quran) bersatu dengan yang batil (muzik) di dalam jiwa orang yang beriman.

Nasihat al-Imam Ibnu Qayyim al-Jawziyyah tentang bahayanya mendengarkan muzik :

“Mendengarkan muzik secara terus-menerus akan memberatkan hati untuk baca Al-Quran dan akan membuat hati tidak suka mendengarkannya. Maka berhati-hatilah kerana orang yang sering mendengarkan muzik pasti akan malas dan tidak suka untuk membaca Al-Qur’an.” (Ighatsatul Lahfan, 1/250)

Maka berusahalah melawan nafsu mendengarkan muzik dengan mendengarkan lantunan merdu ayat-ayat suci Al-Quran. Semoga Allah membimbing kita.

  1. Sentiasalah membawa Al-Quran ke mana sahaja. Pergi kerja, pergi kuliah, bahkan pergi ke shopping mall, pastikan Al-Quran ada di dalam beg kita. Paling mudah, sekurang-kurangnya ada aplikasi Al-Quran di dalam telefon pintar kita. 

Namun, saya tidak galakkan pembaca untuk merutinkan membaca Al-Quran melalui telefon disebabkan fokus kita akan lebih mudah terganggu misalnya tiba-tiba mesej masuk atau ada pemberitahuan lain yang menarik perhatian kita lalu mengalihkan tujuan utama kita. Untuk situasi seperti ini saya nasihatkan agar dimatikan dahulu wi-fi atau mobile data agar tiada gangguan saat membaca Al-Quran. 

Alhamdulillah, saya sudah pun mengamalkan kelima-lima petua ini dan semoga saya dan juga anda semua dapat istiqamah melakukannya. Semakin dekat hubungan kita dengan Al-Quran, semakin terasa nikmat ketenangan dan kelapangan jiwa. Cuba dulu baru tahu!

Selain itu, memperbanyak bacaan Al-Quran juga dapat menjaga lisan kita daripada mengeluarkan kata yang kurang bermanfaat. Aktiviti ghibah, mengadu domba dan dosa lisan yang lainnya dapat kita hindari.

Bagi sesetengah orang, ada yang tidak sanggup membaca Al-Quran di tengah ramainya manusia kerana takut akan kehadiran perasaan riak dalam hatinya. Saudara saudariku yang dikasihi, sesungguhnya tiada seorangpun yang mampu melakukan kebaikan tanpa pertolongan Allah. Maka mintalah bantuan kepada Allah agar dijauhkan penyakit riak dalam hati kita. Ikhlaskan niat kita membaca Al-Quran untuk mendapatkan keredaan-Nya semata. 

Semoga perbuatan kita membaca Al-Quran di khalayak ramai membuat orang lain ingin mencontohi perbuatan kita dan secara tidak langsung menjadi pahala jariyah untuk kita. Insha-Allah wa biidznillah, perasaan riak itu akan hilang dengan sendirinya. Allah lah sebaik-baik penolong kepada umat manusia.

Jika ada yang mengatakan bahawa membaca Al-Quran itu susah, walaupun yang mengatakan itu adalah hati kita sendiri, ketahuilah bahawa dia telah berdusta. Allah SWT berfirman :

“Dan sesungguhnya telah kami mudahkan Al-Quran untuk pelajaran, maka adakah orang yang mahu mengambil pelajaran?” (Al-Qamar : 17)

Di dalam surah ini sahaja (Al-Qamar), Allah mengulangi ayat yang sama sebanyak empat kali. Hal ini cukup menegaskan bahawa Allah benar-benar menjadikan Al-Quran itu sesuatu yang mudah dipelajari.

Al-Quran juga adalah ubat penawar hati yang rosak :

“Dan Kami turunkan dari Al-Qur’an sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman…” (Al-Isra’ : 82)

Jadikanlah Al-Quran sahabat baik kita kerana dia tidak cuma bermanfaat di dunia, tapi juga di akhirat nanti. Dia akan menolong kita di sana dengan izin Allah.

Semoga pembaca budiman mendapat sesuatu dari artikel picisan saya ini. Jazaakumullahu khairan!

Disediakan oleh : Umm Hurairah


Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.