“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya-Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya, zuriat keturunan, lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu” [Al-Nisa’:1]
Hamka menerangkan dalam tafsir ayat ini yang bermaksud asal usul kejadian manusia itu adalah satu iaitu bahawasanya Allah hanya menjadikan seorang saja, iaitu Adam. Kemudian daripada diri Adam yang satu itu, Allah ciptakan isterinya iaitu Hawa. Disimpulkan bahawa manusia itu dibahagikan kepada dua iaitu lelaki dan perempuan, apabila disatukan kembali maka terjadilah asal usul kembang biak manusia itu.
Allah telah memuliakan kaum wanita dengan menamakan salah satu surah di dalam al Quran iaitu surah an-Nisa yang bermaksud perempuan. Selain surah an-Nisa, terdapat beberapa surah yang menceritakan perihal wanita. Antaranya surah an Nur dan al Baqarah yang menerangkan perihal peranan wanita dan adab dalam rumah tangga. Setiap surah-surah yang membicarakan perihal wanita akan meninggalkan kesan yang mendalam sekali pada jiwa kaum wanita bahawa mereka tidak disia-siakan.
Sebelum bernikah, wanita diberikan hak untuk memilih sendiri pasangannya dan wanita mempunyai hak untuk menolak pinangan lelaki yang tidak disukainya. Kata Hamka:
“Perempuan itu masuk ke dalam rumah tangga yang akan berdiri itu mempunyai hak sendiri. Sejak memilih jodoh, sudah ada kemerdekaan dan kebebasan peribadi yang dalam istilah moden disebut “kemerdekaan kemahuan” (free will). Yakni kebebasan peribadi memilih apa yang disukai. Hak ada pada laki-laki seketika akan memilih bakal isteri dan ada bagi si perempuan dalam memilih bakal suami.”
Ada sebuah ayat yang mengatakan:
“Sungguh malang bagi wanita yang tersalah memilih pasangan”
Islam sangat meraikan hak-hak wanita untuk memilih pasangan yang akan menjadi ayah kepada anak-anak mereka. Oleh itu, Islam menganjurkan taaruf (perkenalan) atau pertunangan sebagai tempoh perkenalan sebelum berkahwin.
Wanita bukan sahaja memainkan peranan penting dalam sebuah institusi keluarga malah peranan wanita sangat besar dalam institusi sesebuah negara. Kata Hamka:
“Wanita itu ialah tiang negara. Kalau wanita itu baik, baiklah negara, dan kalau mereka rosak, rosak pulalah negara. Mereka adalah tiang; dan biasanya tiang rumah tidaklah begitu kelihatan. Tetapi kalau rumah sudah condong periksalah tiangnya. Tandanya tianglah yang lapuk.”
Seorang isteri memainkan peranan pada saat penting dan genting seorang suami seperti kisah Khadijah r.a ketika Nabi Muhammad menerima wahyu yang pertama pada zaman Mekah dan kisah Ummu Salamah yang memberikan semangat kepada Rasulullah pada zaman Madinah. Hal ini kerana, seorang khalifah yang hebat lahir daripada rahim seorang ibu dan sokongan daripada seorang isteri.
Peranan kaum lelaki dan wanita dalam agama dan negara adalah sama penting tidak kedua-duanya mempunyai hak dan tanggungjawab terhadap satu sama lain. Kata Hamka:
“Rumah tangga yang aman damai ialah gabungan antara tegapnya laki-laki dengan halusnya perempuan. Laki-laki mencari dan perempuan mengatur. Tidak boleh satu rumah tangga berdiri kalau hanya kemahuan laki laki saja yang berlaku dan tidak boleh rumah tangga berdiri kalau hanya kehalusan lemah lembut perempuan saja”
Gabungan antara lelaki dan perempuan yang membentuk keturunan, kasih sayang seorang ibu dan kerja keras seorang bapa yang membentuk jiwa anak-anak mereka. Kaum lelaki mencari rezeki untuk keluarga manakala kaum perempuan menguruskan perihal rumah tangga.
Islam tidak melarang untuk kaum wanita ikut berjuang dalam agama. Kita boleh teladani kisah-kisah terdahulu tentang peranan lelaki dan perempuan ketika berjihad. Ketika kaum lelaki pergi berperang dan bertarung nyaw, kaum wanita menyediakan keperluan makanan dan perubatan buat kaum lelaki di medan peperangan.
Di zaman milenial ini, ramai kaum wanita yang mempunyai pendidikan yang tinggi dan mempunyai kerjaya sendiri dan Islam tidak melarang kaum wanita untuk bekerja walaupun sudah berumah tangga. Kos hidup yang semakin hari meningkat antara sebab para wanita memilih untuk bekerja walaupun sudah berumah tangga.
Hidup dalam rumah tangga memerlukan pengorbanan di antara suami dan isteri. Kata Hamka:
“Yang terdapat bahawasanya kejayaan kita, keluar rumah menempuh perjuangan hidup sangat bergantung kepada kesetiaan isteri menjaga benteng rumah tangga.”
Setelah berkahwin, seorang isteri wajib taat dan setia kepada suaminya kerana ketaatan dan kesetiaan itu adalah imbangan daripada perintah Rasulullah kepada kaum lelaki bahawa kaum lelaki wajib memuliakan isterinya dan ahlinya iaitu kaum wanita. Suami memuliakan isteri manakala isteri taat dan setia kepada suami.
Akhir sekali, perihal dalam rumah tangga adalah rahsia di antara suami isteri. Dalam rumah tangga, suami adalah ketua manakala isteri adalah tulang belakang kepada suami. Sebarang permasalahan dalam rumah tangga tidak perlu dihebohkan kepada orang luar termasuklah ibu bapa mahupun adik beradik.
Usaha untuk selesaikan krisis yang berlaku di dalam rumah tangga tanpa campur tangan orang lain. Jika tidak dapat diselesaikan di antara suami isteri, pasangan boleh mendapatkan perkhidmatan kaunseling rumah tangga dari Pejabat Agama. Kata Hamka:
“Perempuan yang dianggap baik oleh Allah atau perempuan yang soleh! ialah perempuan taat, yang tahu diri, yang tahu sampai di batas mana dia harus berjalan. Iaitu perempuan yang memelihara hal-hal yang tersembunyi. Laksana susunan dalam sebuah organisasi. Suami ialah presiden dalam satu rumah tangga, sedang isteri ialah setiausaha. Pokok kata ialah memegang rahsia rumah tangga. Sehingga buruk baik keadaan dalam rumah tangga tidak (dibuka) keluar.”
Teringat akan kisah si Sabariah iaitu karya sulung Hamka, watak si Sabariah mencerminkan keperibadian yang perlu dicontohi seorang isteri iaitu bersabar dengan kekurangan suami dan setia kepada suami. Walaupun ibunya sendiri cuba untuk memisahkan mereka tetapi Sabariah tetap berusaha mempertahankan rumah tangganya dan setia kepada suaminya.
Menjadi seorang wanita itu adalah kemuliaan yang Allah telah kurniakan sejak kita dilahirkan lagi sehingga seorang wanita itu bergelar seorang ibu. Nabi S.A.W pernah bersabda:
“Sekuntum bunga harum semerbak, kita cium. Dan rezekinya sudah dijamin oleh Allah”
Dengan perkataan itu, baginda menunjukkan bahawa anak perempuan itu adalah kembangnya kehidupan seorang ayah. Dan Allah juga memberikan kemuliaan kepada mereka yang bergelar ibu sehingga menurut beberapa hadis bahawa syurga terletak di bawah telapak kaki ibu iaitu keredaan Allah bergantung kepada keredaan ibu bapa. Beruntunglah mereka yang telah dilahirkan sebagai perempuan atau melahirkan anak-anak perempuan.