Pada 15 Januari 2022, saya berkesempatan mengikuti kuliah istimewa yang disampaikan oleh Puan Farhat Naik, isteri kepada Dr. Zakir Naik, di Masjid Alwi, Kangar. Kuliah yang diadakan khusus buat wanita tersebut bertajuk A 5-Step Transformation. Satu topik yang sesuai memandangkan kita berada pada awal tahun walaupun transformasi diri ke arah kebaikan haruslah sentiasa berlaku tanpa menunggu hari-hari tertentu.
Transformasi, jika dirujuk pada Kamus Pelajar Edisi Kedua, bermaksud perubahan rupa, bentuk, sifat, dan lain-lain. Dalam Bahasa Inggeris pula, American English Thesaurus menyenaraikan beberapa sinonim untuk transformation termasuklah change, alteration, modification, remodeling, redoing, dan renewing. Dalam bahasa mudahnya, transformasi adalah perubahan, dan berdasarkan konteks topik yang disampaikan tentulah khusus merujuk kepada perubahan ke arah keadaan diri yang lebih baik.
Sebagai pendahuluan, Puan Farhat Naik mendatangkan satu situasi yang mana terdapat manusia yang belajar untuk hidup dalam kesakitan, tidak berupaya untuk mengubah keadaan, terperangkap dalam situasi yang melelahkan, malah sudah terlalu biasa dan berasa selesa untuk menerima simpati daripada manusia lain terhadap keadaannya itu. Kita sendiri mungkin pernah melihat terdapat manusia yang berada dalam keadaan sukar, namun tidak pula melihat mereka berusaha untuk berubah. Lebih parah apabila mereka lebih senang untuk menerima sahaja bantuan walaupun terdapat ruang yang mereka sendiri mampu untuk berusaha.
Dalam ilmu psikologi, terdapat satu konsep yang dinamakan learned helplessness, yang bermaksud manusia mula percaya sesuatu keadaan yang sukar dan tidak menyenangkan itu tidak dapat dikawal oleh mereka. Manusia yang mempercayai sedemikian melihat kesukaran dan ketidaksenangan di dunia ini sebagai satu perkara yang telah sebati dalam kehidupan, lalu memilih untuk tidak melakukan apa-apa untuk mengubah keadaan. Mereka berpandangan yang apa-apa tindakan mereka lakukan sekalipun tidak mempunyai kaitan langsung dengan hasilnya nanti.
Namun, dalam Al-Quran, Allah ada berfirman dalam Surah Ar-Ra’d, ayat 11 yang bermaksud, “…Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri”.
Kita mengakui yang segala apa yang berlaku di dunia ini merupakan ketentuan daripada Allah. Pada masa yang sama juga, Allah menyuruh kita berusaha untuk melakukan perubahan. Adalah lebih baik jika kita mencuba dan gagal, berbanding tidak mencuba dan membiarkan sahaja keadaan yang sukar dan tidak menyenangkan itu sebegitu rupa sehingga akhir hayat.
Apabila kita ingin melakukan perubahan, ia mestilah bermula dengan perubahan dari dalam. Apabila sudah terjadi perubahan dari dalam diri kita, akan berlakulah juga perubahan di luar dan sekeliling kita. Puan Farhat Naik menyenaraikan lima langkah untuk melakukan transformasi diri.
Membaiki hubungan kita dengan Allah.
Satu perkara yang amat penting bagi manusia adalah untuk mencari ilah, atau sembahan, yang sebenar. Tentulah kita sebagai Muslim tidak akan secara sedar atau sengaja menyebut yang kita menyembah makhluk lain. Namun, cuba fikirkan betapa banyak tindakan yang kita lakukan adalah untuk mendapat perhatian dan penerimaan daripada makhluk lain. Cuba fikirkan juga apakah perasaan kita tatkala sesuatu yang kita lakukan itu mendapat perhatian dan pujian daripada makhluk lain.
Apa-apa sahaja yang kita hidup dan mati kerananya, itulah yang menjadi ilah kita. Jika ilah itu bukan ilah sebenar, ia tidak akan pernah memuaskan, malah kita akan mati secara spiritual. Semakin banyak yang kita perolehi, semakin kita tidak puas hati, dan semakin banyak yang kita mahukan. Satu-satunya ilah yang sebenar adalah Allah Yang Esa.
Tiada rasa cinta yang dapat memuaskan diri selain daripada cinta kita kepada Allah. Persoalannya, adakah cinta kita kepada Allah mengatasi cinta kita kepada makhluk yang lain?
Apabila keseluruhan kehidupan kita hanya berpusat pada mendapatkan cinta Allah, kita tidak akan melakukan sesuatu bagi mendapatkan perhatian dan penerimaan makhluk. Kita hanya akan melakukan sesuatu bagi mendapatkan keredaan dan cinta Allah. Tersemat kukuh dalam pemikiran kita iaitu apa-apa sahaja yang kita lakukan, Allah yang akan beri ganjaran. Hal itu memberikan kita keyakinan untuk melakukan lebih banyak perkara yang menatijahkan kebaikan. Kita bukan sekadar menjadi penerima, malah kita turut menjadi penyumbang di atas muka bumi Allah ini. Cinta sebenar mampu untuk memperkaya dan memperkasakan kita, manakala cinta yang palsu pula melemahkan diri.
Kita tanya kepada diri sendiri, adakah kukuh hubungan kita dengan Allah?
Membaiki tujuan kita.
Apakah tujuan sebenar kita dalam kehidupan ini? Mengapa Allah menciptakan kita?
Allah berfirman dalam Surah Az-Zariyat, ayat 56, yang bermaksud “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepadaKu”.
Kita diciptakan oleh Allah untuk beribadah kepadaNya. Kita sedia maklum dengan pecahan ibadah yang wajib dan sunat mengikut apa yang telah dijelaskan dalam Al-Quran dan hadis. Malah, apa-apa sahaja yang dilakukan bagi mendapatkan keredaan dan cinta Allah, dan dilakukan sesuai mengikut apa yang diajar oleh Rasulullah, ia menjadi ibadah. Apabila kita jelas dengan tujuan kehidupan kita, segala aktiviti yang kita lakukan seharian juga menjadi jelas dan bertujuan. Maka, aktiviti seharian kita juga dikira sebagai ibadah dan diberi ganjaran jika cukup syaratnya. Sematkan dalam pemikiran bahawa apa yang kita perlu lakukan adalah apa yang Allah dan Rasulullah mahu kita lakukan.
Tanya kepada diri, adakah benar tujuan kita berada di atas muka bumi Allah ini?
Membaiki visi kita.
Visi adalah kemampuan untuk kita melihat masa hadapan. Ia bukanlah bermaksud kita dapat meramal apa yang akan berlaku, tetapi ia bermaksud yang kita jelas dengan apa yang kita perlu lakukan, sesuai dengan tujuan kita diciptakan oleh Allah.
Di manakah kita pada satu tahun akan datang? Lima tahun? Sepuluh tahun?
Apakah sumbangan kita kepada ummah? Apakah legasi kita?
Apabila kita ada visi yang jelas, kita tahu ke arah mana kita melangkah, dan sama ada kita melakukan kemajuan atau tidak.
Setiap daripada kita dibekalkan dengan kebolehan, kemahiran, dan kemampuan untuk melakukan perkara yang bermanfaat dan boleh disumbangkan kepada ummah tidak kira di mana pun posisi kita berada. Kita harus sedar yang syaitan sentiasa menghasut kita untuk berfikir yang kita tidak berguna walau sesen pun. Lihat di mana syaitan dan nafsu mengambil tempat dan mempengaruhi cara kita berfikir dan bertindak.
Puan Farhat Naik mendatangkan contoh ibu kepada Imam Bukhari. Imam Bukhari dibesarkan sendiri oleh ibunya setelah kematian bapanya. Ibu kepada Imam Bukhari dikenali sebagai seorang wanita yang solehah dan meletakkan kebergantungan yang sangat tinggi kepada Allah.
Sejak Imam Bukhari kecil, beliau diberi didikan agama dengan baik sekali daripada ibunya. Terdapat satu tempoh yang mana Imam Bukhari terkena penyakit mata sehingga buta penglihatannya. Berkat doa ibunya yang tidak putus-putus, Allah mengembalikan penglihatan Imam Bukhari. Tidak dapat disangkal lagi, kehebatan Imam Bukhari dalam ilmu hadis banyak dipengaruhi oleh didikan ibunya yang sangat jelas akan visi dalam kehidupannya. Jika kita terhutang budi pada Imam Bukhari, kita juga terhutang budi pada ibunya.
Kita tanya pada diri, adakah jelas visi kita dalam kehidupan ini?
Membaiki cara kita berhadapan dengan musibah.
Kehidupan di dunia ini adalah medan manusia diuji. Kita pula sememangnya dijadikan sebagai makhluk yang lemah dan sangat bergantung kepada Allah. Apabila hubungan kita dengan Allah sangat kukuh, ia memberi kekuatan untuk kita berhadapan dengan segala macam ujian dan cabaran dalam kehidupan. Jika kita punya Allah di sisi, mengapa harus merasakan yang kita sedang tewas di dunia ini?
Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 153 yang bermaksud, “Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar”.
Allah Maha Mengetahui kita sedang bergelut.
Allah Maha Melihat kita sedang berusaha.
Namun, sebagai adab makhluk kepada Pencipta, kita disuruh untuk meminta kepadaNya.
Rintihlah kepada Allah tentang masalah kita.
Menangislah kepada Allah mengenangkan betapa lemahnya kita.
Mohonlah kepada Allah untuk memberi kekuatan kepada kita.
Mintalah kepada Allah untuk mengubati hati kita.
Allah sendiri menjanjikan sebaik-baik ganjaran bagi manusia yang dapat menempuh ujian dan cabaran dalam keadaan terbaik.
Kita tanya pada diri, bagaimana keadaan kita ketika mendepani ujian yang Allah letak pada kita?
Membaiki hubungan dengan manusia di sekeliling kita.
Manusia dijadikan sebagai makhluk sosial. Tidak dapat tidak, hubungan kita dengan manusia di sekeliling juga sedikit sebanyak mempengaruhi kesejahteraan kehidupan kita.
Daripada ‘Aisyah R.A. beliau berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda, “Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku. Dan apabila salah seorang daripada ahli keluarga kalian meninggal dunia, maka biarkanlah dia (tinggalkanlah dia dan jangan berbicara tentang keburukannya)”. Riwayat al-Tirmidhi (3895)
Rasulullah memberi panduan tentang keutamaan menjaga hubungan yang baik dengan ahli keluarga. Sayangnya, ramai manusia yang mempunyai hubungan tidak baik dengan ahli keluarga sendiri. Jika sukar untuk melupakan apa yang telah berlaku, cubalah dengan belajar memaafkan dahulu. Jika kita yang melakukan kesilapan, perbaikilah ia, mohonlah taubat, dan berdoalah yang Allah akan mengampunkan.
Tidak dinafikan yang Allah ada menguji makhlukNya melalui kehadiran manusia yang memberi seribu satu masalah dalam kehidupan kita. Namun kita juga perlu ingat tatkala manusia lain mungkin mampu menyakiti kita secara fizikal, kita pula masih mampu mempertahankan hati kita daripada turut disakiti. Manusia lain mungkin bisa melakukan apa pun, tetapi diri kita sendiri jugalah yang akan menghalang atau membiarkan sahaja tindakan mereka mempengaruhi kita. Jika kita jelas letak duduk Allah dalam kehidupan kita, kita juga akan jelas letak duduk manusia lain.
Kita tanya pada diri, adakah harmoni hubungan antara kita dan manusia di sekeliling?
Sebagai penutup, Puan Farhat Naik ada menitipkan beberapa pesanan akhir sambil menjawab soalan yang diajukan oleh para hadirin. Beliau mengingatkan yang Islam sedang diserang dari pelbagai arah. Sebagai seorang Muslim, tidak wajar untuk kita hanya menjadi pemerhati. Sekurang-kurangnya yang dapat kita lakukan adalah untuk memanjatkan doa kepada Allah.
Puan Farhat Naik juga mengingatkan empat perkara yang perlu diberi perhatian iaitu solat lima waktu sehari semalam, zikir pada waktu pagi dan petang, membaca dan memahami isi Al-Quran, dan mempelajari sirah Rasulullah serta para sahabat. Melalui kisah Rasulullah dan para sahabatlah kita dapat melihat kesungguhan dan keberanian mereka melakukan perubahan dalam kehidupan setelah menerima ajaran Islam.
Keberanian bukanlah bererti tiadanya ketakutan. Keberanian adalah mengatasi dan menguasai ketakutan.
Keberanian adalah menegakkan kebenaran.
Keberanian adalah tidak membazirkan waktu.
Keberanian adalah berada hampir dengan Allah.
Keberanian adalah untuk jatuh berkali-kali tetapi tetap bangkit dan berusaha lagi dan lagi.
Beranilah untuk berubah!
Berubahlah!
Moga bermanfaat catatan ini buat diri yang menulis dan kalian yang membaca.
—
Disediakan oleh,
Syamim Binti Hashim