Pada hari ini, rata-rata berita melaporkan kes perebutan harta dalam kalangan keluarga Muslim terutama melibatkan harta pusaka sehingga ada yang meragut nyawa kerana berebut harta pusaka.

Punca terbesar perebutan berlaku adalah kerana masyarakat kurang celik mengenai ilmu faraid. Ilmu faraid ialah ilmu pembahagian harta pusaka selepas kematian seseorang Muslim yang telah ditetapkan di bawah hukum syarak ke atas waris-waris yang sah dan layak.

Begitu banyak riwayat yang menekankan kepentingan mempelajari ilmu faraid agar perselisihan harta ini dapat diselesaikan. Kematian pasti menimpa setiap manusia dan isu pewarisan pasti berlaku kepada sesiapa sahaja. Berikut adalah kepentingan ilmu Faraid

  1. Ilmu yang dituntut untuk dipelajari.

Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تعلَّموا الفرائضَ وعلِّموها الناسَ ، تعلَّموا القرآنَ وعلِّموه الناسَ؛ فإِنَّي امرؤٌ مقبوضٌ ، والعلمُ سينقبِضُ ، وتظهرُ الفتنُ ، حتى يختلِفَ اثنانِ في فَريضَةٍ ،لايجدانِ أحدًا يَفْصِلُ بيينَهما 

Yang bermaksud: “Pelajarilah faraid dan ajarkanlah ia kepada manusia, pelajarilah al-Quran dan ajarkanlah ia kepada manusia, Sesungguhnya aku adalah manusia yang akan digenggam (diwafatkan) dan sesungguhnya ilmu tersebut akan digenggam (dicabut), dan nanti akan timbul fitnah-fitnah, sehingga nanti apabila dua orang berselisih mengenai pembahagian harta pusaka, tidak ada orang yang dapat menyelesaikan antara kedua-duanya.” (Riwayat al-Nasa’ie)

2. Ilmu yang akan dilupakan dan dicabut.

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تعلَّموا الفرائضَ وعلِّموها الناسَ فإنه نصفُ العلمِ وهو يُنسَى وهو أولُ ما يُنتَزَعُ من أمتي

Yang bermaksud: “Pelajarilah ilmu faraid dan ajarkanlah ia kepada manusia. Sesungguhnya ia adalah setengah daripada ilmu dan ia adalah ilmu yang dilupakan dan ia adalah ilmu yang mula-mula akan dicabut daripada umatku.” (Riwayat Ibnu Majah)

3. Ilmu yang sangat tinggi berbanding ilmu-ilmu lain.

Daripada Abdullah bin Amru r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

العِلْمُ ثَلاثةٌ، وما سوى ذلك فهو فَضْلٌ؛ آيةٌ مُحكَمةٌ، أو سُنَّةٌ قائمةٌ، أو فَريضةٌ عادلةٌ

Yang bermaksud: “Ilmu itu ada tiga, selainnya adalah lebihan sahaja, iaitu ayat Muhkamat (ayat hukum yang tidak dimansuhkan), sunnah yang sahih yang diriwayatkan oleh Rasulullah SAW dan ilmu pembahagian harta pusaka yang adil.” (Riwayat Abu Daud)

4. Ilmu yang merupakan sebahagian daripada agama.

Saidina Umar r.a. sangat mengambil berat terhadap ilmu faraid sama ada dari segi pembelajarannya atau pengajarannya  dan pernah berkata:

تعلموا الفرائض فانها من دينكم

Maksudnya: “Pelajarilah ilmu faraid kerana ia sebahagian daripada agama kamu.”

5. Ilmu yang dikuasai oleh para sahabat.

Nabi SAW sendiri mengakui keilmuan Zaid bin Thabit dalam ilmu faraid. Baginda bersabda melalui hadis daripada Anas bin Malik r.a.:

أفرَضُكم زيدُ بنُ ثابتٍ

Yang bermaksud: “Orang yang paling pandai ilmu faraid daripada kamu ialah Zaid bin Tsabit.” (Riwayat al-Tirmizi)

Kini, terdapat banyak saluran yang disediakan oleh institusi keagamaan untuk mempelajari ilmu faraid secara percuma dan mudah difahami antaranya portal rasmi E-Syariah di pautan http://www.faraid.gov.my/Faraid/index.do . Di portal ini, pengguna boleh berdaftar sebagai pelajar dan terdapat beberapa modul yang disediakan beserta video dan slaid sebagai bahan bantuan belajar. Pengiraan faraid juga boleh dilakukan melalui portal Majlis Agama Islam Selangor di pautan https://efaraid.mais.gov.my/ 

Semoga  perkongsian ini dapat memupuk kefahaman dan minat masyarakat agar mendalami ilmu faraid agar pembahagian harta kepada yang tidak berhak dapat dielakkan sekaligus menghindari perselisihan faham antara ahli keluarga serta perpecahan. Diharapkan juga, salah faham terhadap ilmu ini sendiri dapat diperbetulkan kerana Allah itu Maha Adil, tidak mungkin Dia mengsyariatkan sesuatu yang zalim.

Disediakan oleh,

Nur Aina

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.