Menjadi kebiasaan bila mana kita membaca buku-buku yang berkaitan dengan sirah Nabi Muhammad ﷺ, tak dapat tidak kita akan bertemu dengan satu perkataan, iaitu ‘sahabat Nabi’, bukan?
Pernah tak kita tahu sebenarnya siapakah orang yang digelar ‘sahabat Nabi’ itu ? Seramai manakah bilangan mereka ini?
Dalam artikel ringkas ini, saya akan berkongsi tentang lima (5) fakta menarik mengenai ‘sahabat Nabi’ yang kita wajib tahu.
Pertama : Siapakah yang layak digelar sebagai ‘sahabat Nabi’?
Para ulamak berselisih pandangan mengenai takrif yang tepat bagi istilah ‘sahabat Nabi’ ini. Ada beberapa pandangan ulamak dalam membahaskan tentang makna istilah ini. Dalam penulisan saya ini, saya tidak berhajat untuk memanjangkan perbahasan dalam mentakrifkan istilah ini. Cukup saya simpulkan bahawa seseorang itu dikira ‘sahabat Nabi’ sekiranya dia memiliki ciri-ciri berikut :
- Bertemu dengan Nabi ﷺ setelah tempoh kenabian dan semasa hayat baginda (sebelum kewafatan Nabi ﷺ)
- Seorang muslim yang telah sampai had umur mumaiyiz dan berakal
- Meninggal dalam keadaan Islam
Sekiranya seseorang itu telah mencukupi 3 ciri-ciri yang disebutkan seperti di atas, individu tersebut sudah layak digelar sebagai seorang ‘sahabat Nabi ﷺ’.
Kedua : Seramai manakah bilangan mereka ?
Bilangan sahabat Nabi ﷺ tidak disebut didalam kitab-kitab karangan ulamak secara tepat seramai manakah jumlah mereka. Tetapi para ulamak membuat anggaran bilangan mereka iaitu seramai lebih 100 ribu orang, mengambil kira bilangan jemaah haji yang turut serta dalam peristiwa hajjatul wada’ (haji perpisahan) yang turut dihadiri oleh baginda Nabi ﷺ. Dikatakan bilangan yang hadir dalam peristiwa bersejarah itu adalah seramai 114 ribu orang.
Ketiga : Siapakah sahabat Nabi ﷺ yang terakhir sekali hidup di atas muka bumi ?
Beliau adalah Abu at-Tufail ((أبو الطُفَيْل atau nama sebenarnya A’mir bin Waatsilah al-Laithi (عامر بن واثلة الليثي), meninggal di Mekah pada tahun 110 hijrah, iaitu lebih kurang 100 tahun setelah wafatnya baginda Nabi ﷺ (iaitu pada 11 hijrah). Beliau adalah sahabat Nabi ﷺ yang terakhir sekali meninggal dunia.
Keempat : Kenapa generasi sahabat disebut sebagai ‘sebaik-baik generasi’?
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Abdullah bin Masu’d رضي اللّه عنه bahawa sesungguhnya Nabi ﷺ telah bersabda :
“Sebaik-baik manusia adalah yang hidup pada kurunku…”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim dalam kitab Sahih mereka.
Difahami daripada hadis bahawa sebaik-baik generasi adalah generasi yang hidup di zaman Nabi ﷺ, generasi itu tidak lain dan tidak bukan adalah generasi sahabat رضي اللّه عنهم أجمعين.
Ada beberapa faktor yang menyebabkan mereka dianggap sebagai ‘sebaik-baik generasi’ yang dapat saya sebutkan secara ringkas :
- Mereka adalah generasi yang mendapat keredaan Allah ﷻ seperti mana firmanNya dalam Surah at-Taubah ayat 100 :
{والسابقون الأولون من المهاجرين والأنصار والذين اتبعوهم بإحسان رضي الله عنهم ورضوا عنه}
Maksudnya : “Dan golongan yang terdahulu (masuk Islam) daripada kalangan muhajirin dan ansar dan golongan yang mengikuti mereka pada perkara kebaikan, Allah telah reda kepada mereka sedang mereka juga telah reda kepada Allah”
- Mereka adalah generasi yang mendapat keredaan baginda Nabi ﷺ sehinggakan baginda melarang umatnya daripada mencela para sahabatnya seperti mana yang disebut dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Abu Sai’d al-Khudri رضي اللّه عنه, sabda baginda Nabi ﷺ :
لا تسبوا أصحابي فلو أن أحدكم أنفق مثل أحد ذهبا ما بلغ مد أحدهم ولا نصيفه
Maksudnya : “Janganlah kamu memcela para sahabatku, kalaulah ada di antara kamu yang menginfakkan emas sebesar bukit Uhud pun, tidak akan dapat menyamai secupak mereka (nilai infak mereka) bahkan setengah daripadanya (secupak mereka)”
- Mereka adalah penyambung dakwah baginda Nabi ﷺ, generasi pertama yang membawa, menjaga dan menyebarkan wahyu Allah ﷻ (Al-Quran dan Sunnah) ke seluruh pelusuk alam.
Kelima : Siapakah 10 orang sahabat yang dijanjikan syurga ?
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Abdul Rahman bin Auf bahawa sesungguhnya Nabi ﷺ bersabda :
“Abu Bakar di dalam syurga, Umar di dalam syurga, Uthman di dalam syurga, Ali di dalam syurga, Az-Zubair di dalam syurga, Tolhah di dalam syurga, Abdul Rahman bin Auf di dalam syurga, Saad bin Abi Waqqas di dalam syurga, Sa’id bin Zaid di dalam syurga, Abu U’baidah bin al-Jarrah di dalam syurga.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Abu Daud, Imam at-Tirmizi, Imam Ibnu Majah, Imam Ahmad bin Hanbal dan imam-imam yang lain dalam kitab mereka.
Hadis ini memberi isyarat bahawa 10 orang sahabat yang disebut namanya secara khusus oleh baginda Nabi ﷺ di atas sebagai satu bukti yang mereka ini dijanjikan bagi mereka syurga Allah ﷻ dan memperoleh kedudukan yang khusus di sisi baginda Nabi ﷺ. Difahami juga daripada hadis di atas juga bahawa mereka ini adalah sahabat Nabi ﷺ yang paling afdal, tiada sahabat lain yang mendahului mereka dari sudut kemuliaan oleh kerana jasa dan pengorbanan mereka yang besar untuk agama Allah dan RasulNya.
Daripada hadis di atas, kita senaraikan nama 10 orang sahabat Nabi ﷺ yang dijanjikan syurga tersebut beserta dengan nama sebenar mereka :
- Saidina Abu Bakar (Abdullah bin Uthman Abu Quhafah) as-Siddiq رضي اللّه عنه
- Saidina Umar bin al-Khattab al-Faruq رضي اللّه عنه
- Saidina Uthman bin A’ffan Zu an-Nurain رضي اللّه عنه
- Saidina Ali bin Abdu Manaf (Abu Tolib) رضي اللّه عنه
- Saidina az-Zubair bin al-A’wwam رضي اللّه عنه
- Saidina Tolhah bin Ubaidillah رضي اللّه عنه
- Saidina Abdul Rahman bin Auf رضي اللّه عنه
- Saidina Saad bin Malik (Abi Waqqas) رضي اللّه عنه
- Saidina Sai’d bin Zaid رضي اللّه عنه
- Saidina A’mir bin Abdillah bin al-Jarrah (Abu U’baidah) رضي اللّه عنه
Satu perkara yang perlu kita tahu adalah tidaklah hanya 10 orang sahabat Nabi ﷺ ini sahaja yang dijanjikan syurga, bahkan ramai lagi sahabat-sahabat Nabi ﷺ yang turut dijanjikan syurga seperti mana disebut dalam banyak hadis-hadis yang lain, sebagai contoh Saidina Bilal bin Robah رضي اللّه عنه yang disebut dalam satu hadis bahawa Nabi ﷺ mendengar bunyi tapak kakinya (yakni tapak kaki Bilal) di syurga (isyarat bahawa Saidina Bilal juga antara sahabat Nabi ﷺ yang dijanjikan syurga), cumanya disebut 10 orang sahabat ini kerana kedudukan dan keistimewaan mereka serta kemuliaan mereka di sisi baginda Nabi ﷺ.
Rujukan :
- Sahih al-Imam al-Bukhari, karangan al-Imam al-Bukhari
- Tadrib ar-Rawi, karangan al-Imam as-Suyuti
- Subul al-Huda wa ar-Rasyad, karangan al-Imam Muhammad bin Yusuf as-Syami
- Tarikh al-Khulafa’, karangan al-Imam as-Suyuti
Disediakan oleh,
Muhammad Muizzuddin bin Nazri
Pelajar tahun akhir, Jurusan Hadis dan Ulum Hadis, Fakulti Usuluddin, Universiti al-Azhar, Kaherah, Mesir
Hantar karya anda di emel [email protected].
Karya yang terpilih akan disiarkan di laman web Jejak Tarbiah dan mendapat baucar buku RM30!