Sabar adalah suatu tindakan menahan diri tatkala emosi menguasai diri yang boleh menyalakan api kemarahan dalam diri. Sabar daripada marah adalah suatu sikap dan amalan yang terpuji. Namun mudah diucapkan dengan lidah sukar dalam situasi.

Kata Imam Ghazali, “sabar itu menetapkan dalam diri satu pendirian bagi melawan setiap perkara yang membangkitkan nafsu dan keinginan”

Maka, di dalam hati itu ada dua kumpulan tentera sedang berjuang menegakkan perbuatan. Itulah peperangan untuk melakukan kebaikan atau kejahatan.

Andai dipilih untuk bersabar nescaya kebaikan diperoleh manusia dan sekiranya dipilih untuk tidak bersabar maka pasti membawa keburukan. Firman Allah yang bermaksud:

“Sebenarnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala yang tidak terkira kepada mereka”. (Al-Zumar:10).

Sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W., kita seharusnya menjadikan baginda sebagai contoh serta tauladan dalam segenap aspek termasuklah dalam bersabar. Perhatikanlah sifat sabar baginda yang luar biasa hebatnya agar menjadi ikutan bagi sekalian manusia.

Ketika baginda mula untuk menyebarkan Islam ke luar Kota Mekah, baginda telah memilih Taif untuk menyampaikan risalah-Nya pada tahun ke-10 kerasulan. Namun demikian, dakwah baginda tidak diendahkan malahan dihujani dengan cacian. Tidak cukup dengan itu, para penduduk mengupah kanak-kanak untuk membaling batu ke arah baginda.

Darah baginda mengalir memenuhi sepatu yang dipakainya. Namun tiada didoakan kemudharatan bagi mereka malahan memaafkan. Kesabaran ini yang sepatutnya umat Islam pada era kini ambil sebagai pedoman.

Sebenarnya, “sabar” menurut Ibnu Qayyim mempunyai 3 jenis:

  1. Sabar dalam mengerjakan seluruh ketaatan kepada Allah.
  2. Sabar daripada melakukan amalan kejahatan dan kemaksiatan kepada Allah
  3. Sabar dalam menghadapi ujian Allah.

Syeikh Abdul Qadir al-Mandili menyebutkan bahawa sabar dalam mengerjakan ketaatan biasanya adalah kerana sifat malas kerana nafsu yang liar. Contohnya, malas untuk solat, mengerjakan haji dan keluar berjihad.

Manakala sabar daripada melakukan maksiat adalah lebih sukar daripada sabar dalam taat. Ini kerana nafsu dan maksiat adalah sebati dan menjadi adat. Antaranya ialah mengumpat, bercakap bohong dan berdendam. Maka kesabaran yang tinggi diperlukan untuk meningggalkan segala larangan-Nya.

Ujian daripada Allah pula datang dalam pelbagai bentuk. Ada yang datang dengan kehilangan orang tersayang, kerosakan harta benda, banjir dan sebagainya. Ada pula yang datang dengan ujian disakiti oleh orang lain dengan cacian atau penindasan.

Dalam menghadapi dugaan yang penuh pancaroba, kesabaran amat diperlukan agar lidah dan tangan tidak melakukan perkara yang membawa kemudharatan. Menahan diri yakni bersabar daripada melayan hawa nafsu dan api kemarahan adalah mudah pada pandangan, ringan dalam sebutan namun sukar pada perbuatan.

5 Cara Menjadi Orang yang Bersabar dan Menahan Diri Ketika Diuji

  1. Mengawal Emosi

Apabila orang lain biasanya mencaci dan melukakan kita sama ada fizikal atau mental. Api kemarahan akan membuak-buak dalam hati. Pada waktu ini, manusia cenderung untuk melakukan tindakan ekstrem termasuk memukul dan mencaci semula orang yang menyakiti kita.

Oleh itu, kita perlu mengawal emosi daripada marah dalam erti kata lain iaitu bersabar. Tarik nafas sedalam mungkin dan lepaskan sebanyak beberapa kali diiringi dengan selawat dan istigfar. Insya-Allah perasaan marah akan reda.

  1. Bersikap Positif.

Sesudah mampu mengawal hati yang sedang bergelora dilambung ombak kemarahan, mental perlu bersikap positif. Prasangka dan perasaan yang datang sebenarnya memancing emosi untuk melepaskan kemarahan. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa berfikir secara positif kerana pemikiran dan emosi yang positif akan mendorong tindakan yang positif. Barulah boleh mengelakkan diri daripada melepaskan kemarahan kepada orang lain.

  1. Memaafkan 

Kita perlu sedar bahawa segala yang berlaku adalah ujian daripada Allah. Memaafkan dapat melupakan diri kita daripada menyimpan dendam. Maaf memang mudah diucapkan tetapi sukar dalam perbuatan.

Oleh itu, setelah kita berfikiran positif barulah kita mudah memaafkan. Contohnya ketika orang lain mencaci kita, kita seharusnya mengawal emosi dan berfikiran positif.Apabila kita sudah mendapat aura positif dengan berfikir mungkin orang ini ada masalah dan sebagainya barulah mudah untuk memaafkan.

  1. Mengambil Hikmah

Kebiasaan apabila kita ditimpa musibah seperti kehilangan barang, jangan marah dahulu. Ambil pengajaran daripada apa yang berlaku kerana mungkin kecuaian kita yang mendorong berlakunya musibah tersebut.

Ini dapat mengelakkan diri kita daripada mencaci perompak yang mencuri atau ketika pencuri ditangkap mengelakkan diri kita memukul mereka sebaliknya melaporkan kepada pihak berkuasa. Kalau anda memukul pencuri tersebut, apa beza anda dan dia? Dia mencuri barangan anda dan anda mungkin mencuri kesihatannya dengan memukulnya. Oleh itu, bersabarlah dalam dugaan.

  1. Dekat dengan Allah dan bersama-sama orang yang berilmu serta beradab

Aura positif dapat dijana apabila kita sentiasa dekat dengan Allah melalui ibadat dan sebagainya. Namun bersama orang-orang yang berilmu dan beradab juga mampu menusukkan aura positif ke dalam jiwa kita.

Sikap dan adab mereka akan menyebabkan kita malu seterusnya berusaha untuk mengadaptasikan akhlak mereka. Para ulama terdahulu seperti Imam Ahmad juga pernah dipenjarakan namun beliau bersabar dalam ujian itu. Maka, pengaruh adab dan akhlak beliau sampai kepada anak-anak muridnya.

Dalam mendidik diri kita untuk bersabar, kita perlu mengetahui bahawa Allah akan memberi ganjaran yang sangat besar kepada manusia yang bersabar. Inilah yang sepatutnya menjadi motivasi bagi manusia untuk  bersabar dalam setiap amalan dan perlakuan. Firman Allah yang bermaksud:

“Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah:155)

“(Iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa mushibah, mereka mengucapkan, Innaalillaahi wa innaa ilaihi raajiuun (daripada Allah kami datang dan kepada-Nya kami kembali)”. (Al-Baqarah:157)

“Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhannya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk”. (Al-Baqarah:157)

Firman Allah juga yang maknanya:

“Apa yang di sisimu akan lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal. Dan sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan”.(Surah An-Nahl 96)

-A.R. KASA

Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

For security, use of Google's reCAPTCHA service is required which is subject to the Google Privacy Policy and Terms of Use.

I agree to these terms.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.