Dalam perputaran roda kehidupan, tak selamanya kita merasai bahagia. Akan tiba waktunya kesedihan menerpa ruang jiwa kita. Hal ini merupakan lumrah kehidupan. Memandangkan kita masih bernafas di atas dunia ini. Kita bukannya berada di Syurga.

Hanya di Syurga, kita akan memperoleh kebahagiaan yang hakiki. Di sana, tiada lagi ujian mahupun kepayahan. Untuk mendapat tempat di Syurgawi, kita perlu bertungkus-lumus terlebih dahulu di alam dunia. Mengumpulkan bekalan yang secukupnya untuk dibawa ke alam akhirat. Ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana seringkali perhiasan dunia menyilaukan mata hati kita. 

Semua orang pasti menginginkan bahagia. Tiada sesiapa yang mahu berhadapan dengan situasi sengsara. Tapi hendaklah kita beringat bahawa kedukaan juga merupakan ujian yang pasti akan melanda kehidupan kita. Tak kira sama ada kita bersedia mendepaninya ataupun tidak. Sedih dan gembira merupakan rencah kehidupan. Tanpa keduanya, apalah makna sebuah kehidupan.

Saat dunia kita gelap seketika. Awan mendung menurunkan hujan kesedihan. Masalah demi masalah singgah mengetuk pintu kehidupan kita. Sungguh, kita takkan boleh lari daripada semua itu. Beranikanlah diri untuk melaluinya. Kita tidak mempunyai pilihan lain. Satu yang mesti kita selalu ingat bahawa Allah sentiasa ada.

Ada beberapa perkara yang boleh kita lakukan untuk mengurangkan rasa sedih tersebut. Menghilangkan sekaligus nestapa tanpa sisa adalah mustahil terjadi. Berikut merupakan lima cara untuk mengurangkan kedukaan yang sedang kita alami;

1) Membaca al-Quran dan menghayati maksudnya.

Dengan menghayati ayat-ayat al-Quran sebenarnya mampu mendatangkan satu perasaan yang lega ke dalam hati kita. Cubalah anda membaca tafsir setiap ayat atau setiap juz yang anda baca itu, pasti anda akan terpesona. Begitu banyak cerita tentang kesabaran dan ketabahan terkandung di dalamnya.

Deretan kisah mereka itu membuat kita rasa bahawa dugaan yang sedang kita hadapi hakikatnya adalah kecil. Dibandingkan dengan mereka yang disebut dalam Kitabullah. Antaranya, 

Kisah Maryam yang diasingkan dan dihina oleh warga di sekelilingnya. Kerana ia dituduh sebagai penzina kerana mengandungkan anak tanpa seorang ayah di sisi walhal perkara itu merupakan kekuasaan Allah SWT. Jika Allah berkehendak menciptakan sesuatu, maka terjadilah ia walaupun tanpa ada penyebabnya. Tiba masanya Maryam melahirkan anak, ia cuma berseorangan tanpa bantuan sesiapa di sisinya.

Bayangkan betapa sakitnya mental dan fizikal Maryam ketika itu sampaikan ia mengatakan “Aduhai, alangkah baiknya aku mati sebelum ini, dan aku menjadi barang yang tidak bererti, lagi dilupakan.” [Surah Maryam ayat 23]

Namun, apa yang berlaku seterusnya? Saat di ambang kepasrahan sepenuhnya, Allah pun membantu Maryam dengan memerintahkan ia menggoyang-goyangkan pokok kurma tempat ia bersandar tersebut. Gugurlah buahnya dan menjadi santapan Maryam untuk mendapatkan tenaga setelah berhempas-pulas dalam proses melahirkan anak.

Tahulah Maryam bahawa Allah tidak akan pernah meninggalkannya sendirian. Pertolongan Allah itu sentiasa dekat. Kesudahannya, anak yang dilahirkan Maryam itu kelak menjadi seorang Nabi. Yakni Isa putera Maryam. 

Kisah Nabi Yusuf a.s yang dikhianati sendiri oleh saudara-saudaranya. Akhirnya, baginda terpisah dari ayah tercinta. Bukan cuma itu, baginda juga pernah difitnah menodai isteri dari tuannya dimana ketika itu baginda bekerja di dalam istana. Lama baginda terpisah dari ayah tercinta dan ayahnya pun tidak berhenti mengenangkan nasib anaknya itu yang disangkakannya telah mati dibaham binatang buas.

Takdir telah membawa baginda ke dalam penjara akibat dari fitnah dari isteri tuannya tersebut. Tetapi akhirnya beliau dibebaskan kerana terbukti bahawa isteri tuannya itulah yang telah menggodanya. Melalui bukti kesan koyakan dari baju Nabi Yusuf.

Di penghujungnya, Nabi Yusuf a.s dipertemukan semula dengan ayahanda terkasih. Manakala kerabatnya yang telah mereka-reka cerita tentang terbunuhnya Nabi Yusuf itu pun akhirnya mengakui kesalahan mereka.

Selain itu, kisah Ashabul Kahfi. Sekumpulan pemuda yang ditidurkan oleh Allah dalam sebuah gua selama beratus tahun. Kemudian, dibangunkan semula pada zaman dimana agama Tauhid telah diterima oleh orang ramai. 

Mereka memutuskan untuk bersembunyi di gua pada era dimana akidah mereka tidak selamat. Raja sewaktu itu sangatlah kejam dan akan menghukum bunuh sesiapa sahaja yang tidak mengakui bahawa Tuhan itu mempunyai anak dan hari kebangkitan itu adalah benar. 

Detik genting itu menjadikan para pemuda tersebut gelisah. Bimbang keimanan mereka akan terancam, maka takdir memutuskan mereka harus bersembunyi ke gua tersebut. Menghindar dari dikejar dan dibunuh oleh tentera-tentera raja yang zalim itu.

Di dalam gua, mereka berdoa dan berserah sepenuhnya kepada Allah. Akhirnya, Allah pun menyelamatkan mereka dengan mengelabui pemandangan para tentera jahat tersebut. Nuansa di sekitar gua Allah jadikan ia sangat menggerunkan sehingga tiada seorang pun yang berani mendekati gua tersebut. Selamatlah para pemuda itu. Tanpa mereka sedari bahawa mereka akhirnya ditidurkan dalam kurun waktu yang sangat lama.

Terdapat begitu banyak lagi kisah teladan di dalam al-Quran yang boleh menguatkan semangat kita walaupun diuji dengan ujian yang berat. Kisah Nabi Ibrahim a.s diuji dengan isteri dan anaknya, Ibu Nabi Musa a.s yang terpaksa melepaskan baginda semasa baginda masih bayi lagi ke sungai Nil, keteguhan Asiyah isteri Firaun dalam berpegang pada agama Tauhid dan lain sebagainya. Rajinkanlah diri kita untuk memahami isi dari firman-firman Allah itu. Semua kisah tersebut mempunyai pengajaran untuk kita di sepanjang zaman.

2) Mengimbas kembali penderitaan saudara-saudari kita di serata dunia

Rasulullah s.a.w pernah berpesan bahawa dalam hal keduniaan, lihatlah orang yang berada di bawahmu. Ini juga bermaksud jika kita rasa kesedihan kita itu sangat berat, maka ingat-ingatlah bagaimana penderitaan yang terpaksa dihadapi oleh umat Islam di belahan bumi lainnya. 

Rakyat Syria yang dizalimi dan melalui fasa peperangan yang tidak berkesudahan. Di Yaman, kelaparan menjerut perut-perut rakyatnya, terutama sekali anak-anak yang masih kecil. Mereka kekurangan nutrisi sehingga tubuhnya menampakkan tulang yang sangat ketara. Begitu juga di bumi Palestin, yang sehingga kini tidak meraih kemerdekaan dan terus menerus ditindas oleh puak Zionis Israel.

Di india, saudara-saudari seiman kita dirampas hak mereka. Mereka dilarang menzahirkan ibadah dan syariat Islam. Turut merasakan penderitaan yang sama iaitu Muslim Uyghur, Rohingnya dan lain sebagainya. Malu kita sebenarnya. Sebab duka lara yang kita rasai adalah remeh sahaja berbanding dengan keadaan mereka di luar sana.

Kita? Masih cukup makan. Boleh bersiar-siar di luar rumah. Tiada ketakutan hinggap di benak kita sebagaimana yang situasi di Syria atau Palestin. Bila-bila masa sahaja bom boleh hinggap di atas kepala mereka. Atau peluru senjata api menusuk tubuh mereka. Jadi, kenang-kenangkanlah beratnya kesengsaraan orang lain.

3) Segera mendirikan solat sunat terutamanya tahajud

Tidakkah kita merasakan bahawa waktu terbaik dan paling dekat dengan Rabb adalah semasa kita bersolat? Lebih-lebih lagi pada waktu sepertiga malam. Di kala majoriti manusia tengah nyenyak diulit mimpi. Sepi suasana. Itulah waktu terbaik untuk kita bercerita kepada Allah. Mengadukan semua kekusutan dan kesempitan dada kita itu.

Menangislah sepuas puasnya di hadapan Rabb yang Maha Esa. Ceritakan pada Dia tentang siapa saja yang telah mengguris hatimu. Minta kepada-Nya arah mana yang harus kau tempuh supaya tidak menemui jalan buntu. Mohonlah kepada Allah pilihan yang terbaik untuk kehidupanmu.

Yakinilah. Doamu itu takkan Allah biarkan kosong. Kan Dia kembalikan dengan hasil yang paling baik!

4) Membaca sirah orang terdahulu

Ini adalah masanya untuk kita meluangkan waktu sejenak mencari buku-buku berkenaan salafus soleh. Potret kehidupan mereka dalam menjalani ujian demi ujian daripada Allah. Salafus soleh merujuk kepada tiga generasi terbaik yang telah disabdakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Iaitu pada zaman Nabi dan para sahabat, tabi’in dan tabi’ut tabi’in.

Mereka adalah generasi yang sangat tinggi takwa dan tawakkalnya kepada Allah SWT. Walaupun demikian, mereka juga tidak pernah lepas dari ujian Allah. Semua insan di bumi fana ini pasti akan melalui saringan ujian. Sedangkan utusan Allah pun ditimpa badai dan ombak pancaroba. Malah, apa yang mereka hadapi itu lebih dahsyat lagi.

Namun, sungguh ajaib. Mereka tidak bersangka buruk kepada Allah. Tidak pula meratap kedukaan secara berlebihan dan berkepanjangan seolah-olah dunia mahu kiamat. Mereka menanggapi ujian itu sebagai uslub untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah. Mereka menangis umpama cobaan itu akibat dari dosa-dosa mereka. Mereka reda seandainya ujian itu boleh menyebabkan terhapusnya dosa dan digantikan Allah dengan pahala.

5) Meminta pendapat daripada orang yang boleh dipercayai.

Kadangkala, kita perlu berkongsi sedikit permasalahan kita kepada orang lain. Terutama dengan mereka yang lebih berpengalaman dan telah melalui pelbagai asam garam kehidupan. Diharapkan nasihat daripada mereka mampu memberi beberapa solusi yang baik untuk masalah kita itu.

Akan tetapi, pilihlah seseorang yang pandai memegang amanah, tidak menjaja aib kita, bukan seorang pengumpat apatah lagi tukang fitnah. Dengan memilih orang-orang yang takutkan Allah, nescaya segala rahsia kita akan selamat di sisinya. Kita pun rasa selesa apabila berbicara dengannya.

Disediakan oleh: Shafiyyah Mei


Leave your vote

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.