Mencapai kebahagiaan dalam rumah tangga adalah kemahuan setiap suami isteri. Tetapi, dalam masa yang sama mereka tidak sedar, perkahwinan bukanlah perkara yang manis-manis sahaja. Akan ada fasa-fasa tertentu untuk mengenal hati budi pasangan. Berkenalan sebelum berkahwin hatta sepuluh tahun pun, kita belum lagi melihat perangai sebenar pasangan kita. Lima tahun pertama dalam alam perkahwinan, barulah kita terbeliak biji mata sedar bahawa inilah alam perkahwinan.
Jadi, persediaan sebelum berkahwin adalah sangat penting. Bukan sekadar mencantikkan luaran sahaja, dalaman juga perlu dicantikkan. Ya, dan yang paling penting, spiritual dan emosi.
Mohon Petunjuk Daripada Allah
Setiap keputusan yang kita ingin lakukan, mestilah mohon petunjuk daripada Yang Maha Esa terlebih dahulu agar apa jua keputusan yang kita ambil, kita akan reda sama ada baik atau buruk kerana kita yakin bahawa semua ini adalah perancangan Allah Yang Maha Mengetahui. In shaa Allah pasti ada hikmah disebalik perancangan Allah.
Sebelum bertambah bunga-bunga cinta, wajiblah kita tetapkan pendirian, pengenalan kita dengan pasangan tersebut adalah untuk mencapai ikatan yang sah, bukan sekadar mengisi kekosongan diri tanpa apa-apa pendirian yang tetap untuk masa hadapan. Andai kita sudah sedar diri bahawa kita perlu membina rumah tangga, maka binalah hubungan yang serius berlandaskan panduan yang Islam telah tetapkan, mencapai keredhoan Allah itu penting sekali. Apa-apa permulaan dengan keredhoan, natijahnya hidup kita penuh dengan keberkatan.
Kenal Karakter Diri Sendiri dan Pasangan serta Keluarga Pasangan
Mengenali karakter diri sendiri dan pasangan adalah sangat penting. Slogan “cinta itu buta” ketika mana hangat bercinta sahaja. Alam perkahwinan bukan sahaja memerlukan cinta, akan tetapi disulami dengan rasa tanggungjawab yang berat sebenarnya.
Antara ciri karakter yang kita perlu kenal pasti adalah introvert, extrovert, ambivert, dominan, submisis dan juga tabiat keluarga. Sudah pastu kita sendiri tahu karakter keluarga kita sendiri, tetapi kadang-kadang boleh jadi kita belum mengenali diri sendiri. Jadi, kita perlu mengambil masa untuk menganalisa diri sendiri terlebih dahulu. Oh ya, kenapa perlu mengetahui tabiat keluarga pasangan?
Cara hidup sesebuah keluarga sedikit sebanyak mempengaruhi tabiat dan fikiran kita. Ingat ya, kita bukan sekadar kahwin dengan pasangan kita sahaja, tetapi kita juga akan hidup dalam keluarga pasangan tersebut. Setelah menganalisa sebaik mungkin, barulah kita buat keputusan, “adakah aku layak dan bersedia untuk hidup semati dengan pasangan tersebut?”.
Sebagai contoh, kita tahu pasangan kita cepat melenting, jadi kita perlu bersiap sedia mempelajari teknik sabar yang betul dan usaha untuk respon dengan cara baik tanpa mencetus pergaduhan yang sangat besar. Pergaduhan itu normal bagi setiap pasangan, melalui itulah kita dapat mengenali lebih mendalam pasangan kita. Persoalannya, adakah kita bersedia untuk menerima baik buruk dan berusaha bersama-sama untuk mencapai kesefahaman bersama?
Belajar Ilmu Rumah Tangga
Ilmu rumah tangga adalah sangat tinggi nilainya. Bukan sekadar belajar cara melayani pasangan kita sahaja. Ilmu tentang tanggungjawab isteri, suami dan menantu juga perlu dititik beratkan, terutamanya kita perlu kenal pasti apa hak kita dalam rumah tangga.
Umum kita mengetahui tanggungjawab asas sahaja, secara mendalam belum lagi kita pelajari. Adakah tanggungjawab suami perlu memberi nafkah dan menyediakan tempat tinggal sahaja? Tidak, banyak lagi tanggungjawab suami, terutamanya menjaga emosi dan kesihatan mental isteri. Sebab itulah antara hikmah suami perlu sediakan tempat tinggal supaya si isteri bebas melakukan apa sahaja tanpa perlu berkongsi ataupun memendam perasaan ketika mana ada individu lain di dalam rumah tersebut. Bukan suami seorang sahaja memikul tanggungjawab yang berat, si isteri juga perlu cakna tanggungjawabnya terutama menjaga perasaan suami serta menghargai setiap kebaikan yang suami lakukan megikut kemampuannya.
Teknik pergaulan bersama suami perlu dipelajari, ketika mana ada masalah, si isteri perlu luahkan biar bertempat, emosi amarah perlu dikawal dari awal dan paling penting tanamkan rasa bersyukur yang sangat tinggi dan hargai apa yang suami telah sediakan kerana tidak semua suami mampu menyediakan segalanya, tetapi suami yang baik, mereka akan berusaha sebaik mungkin. Ilmu rumah tangga sangatlah luas. Setiap orang yang membina rumah tangga akan sentiasa cuba mengaplikasi ilmu yang dipelajari dan ubah jika tidak Berjaya dan sudah tentu cuba cara yang pula demi kebahagian rumah tangga. Ia mengambil masa bertahun-tahun.
Perancangan Kewangan
Hal kewangan sangat penting dalam membina rumah tangga. Ya benar, rezeki semuanya daripada Allah, kita juga perlu berusaha sebaik mungkin kerana tidak semua rezeki datang bergolek. Kita perlu tahu adakah kewangan kita dan pasangan stabil.
Ramai pasangan merancang majlis perkahwinan yang mewah, menghabiskan berpuluh-puluh ribu hanya kerana mahu nampak gah dimata orang lain. Tidak salah majlis yang mewah tapi bagi mereka yang mampu sahaja, kita kena sedar diri juga ya! Dan betulkan niat, bukan untuk bermegah-megah tetapi unuk mendapat keberkatan dalam majlis tersebut.
Berbalik kepada perancangan kewangan yang sebenar, selepas berkahwin, pasangan akan menjalani rutin-rutin harian bersama, perbelanjaan keperluan dan kemahuan bersama termasuk rumah, kereta, anak dan lain-lain. Simpanan melebihi gaji selama tiga bulan amatlah penting kerana kita tidak tahu, masa depan kita bagaimana, hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.
Jadi kita perlu bersiap sedia! Perlu berbincang dengan pasangan secara terbuka bab kewangan tanpa selindung, bukan kerana kita materialistik, tidak sama sekali. Kenali perancangan kewangan pasangan kita dalam jangka masa yang pendek dan panjang, supaya kita boleh bezakan serta samakan impian tersebut, untuk kebaikan diri sendiri supaya tidak timbul isu tidak puas hati atau si isteri terpaksa rela tanggung segalanya.
Sebenarnya banyak lagi persediaan yang kita perlu pelajari sebelum membina rumah tangga yang harmoni. Ini sedikit sebanyak membuka minda anda semua yang ingin menempuh alam rumah tangga. In shaa Allah kheir.
Penulis: Husna Shukri