Setiap manusia dikurniakan rencam perasaan. Antaranya gembira, sedih, takut, marah, resah dan keliru. Tambahan pula, situasi semasa membuatkan perasaan manusia semakin tidak menentu.
Angka kes yang masih tidak menunjukkan penurunan yang signifikan mendorong kepada ketakutan, kebimbangan dan keresahan. Khususnya, bagi keadaan Malaysia yang berhadapan dengan penambahan jumlah pesakit COVID-19 melebihi angka kesembuhan saban hari. Impaknya, majoriti rakyat berasa takut, gerun, buntu dan hilang arah. Tiada siapa mampu menjangkakan keadaan esok hari. Selain itu, tiada siapa mampu memberi jaminan kesihatan diri dan keluarga masing-masing.
Bagi menangani keadaan ini, umat Islam boleh meneladani pendekatan yang pernah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW ketika baginda mengalami ketakutan dan kecelaruan perasaan.
Ketika Rasulullah SAW bersendirian di Gua Hira’, Jibril muncul di hadapan baginda dengan rupa sendiri. Nabi SAW ketika itu digambarkan dalam keadaan ketakutan yang tersangat. Tubuh baginda menggeletar dan kaku ketika menerima wahyu pertama tersebut. Dalam kecelaruan perasaan itu, baginda mengambil beberapa tindakan.
Pertama, Rasulullah SAW mengawal ketakutan dengan sesuatu yang mententeramkannya. Baginda pulang ke rumah dan meminta kepada isteri tercinta untuk menyelimutkan baginda. Rasulullah SAW bersabda:
“Baginda berkata kepada Khadijah: Selimutkan aku, selimutkan aku. Sehingga hilang keresahan Baginda.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Untuk meneladani Nabi menghadapi ketakutan ini, carilah apa sahaja yang mententeramkan diri kita. Jika Nabi meminta untuk diselimuti, seseorang boleh memilih apa sahaja yang mampu meredakan ketakutan dan keresahan diri mereka sendiri. Biasanya, manusia mampu mengetahui dengan jelas hal yang mampu mententeramkan dirinya.
Kedua, bercerita tentang ketakutan yang dialami. Baginda meluahkan rasa ngeri berjumpa makhluk yang tidak pernah diduga muncul di hadapan mata. Baginda turut menceritakan perintah luar biasa yang dibawa oleh malaikat tersebut untuk membaca. Sedangkan, ketika itu baginda merupakan seorang yang buta huruf.
Dengan penuh kasih, Saidatina Khadijah memujuk dengan kata-kata yang mententeramkan jiwa baginda Khadijah berkata: “Jangan begitu, Allah sesekali tidak akan mengecewakan kamu. Sesungguhnya kamu menyambungkan hubungan kekeluargaan, bercakap yang benar, membantu anak yatim, memuliakan tetamu dan membantu orang yang benar.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Bagi meneladani Rasulullah, seorang Muslim yang dihurung rasa takut, gundah dan resah boleh mengakui perasaan tersebut dan meluahkannya kepada orang yang dipercayai. Mereka boleh memilih orang yang memahami situasi mereka ketika itu. Kadangkala, bercerita itu dapat meredakan keadaan. Ditambah pula pelukan semangat dan tiupan kekuatan daripada mereka, akhirnya mampu menukar suasana rasa jiwa.
Ketiga, Rasulullah SAW mendapatkan khidmat nasihat daripada orang yang membantu baginda. Bagi merungkaikan keadaan Rasulullah SAW ketika itu, Saidatina Khadijah yang bijaksana memohon sepupu beliau yang sangat berpengalaman dalam hal ehwal agama iaitu Waraqah Bin Naufal Bin Asad. Tujuannya adalah untuk menjelaskan realiti yang dialami oleh baginda.
“Nabi SAW menceritakan apa yang telah berlaku. Waraqah berkata: Itu adalah Malaikat Jibril yang telah diturunkan kepada Musa. Andai kata aku masih muda dan hidup ketika mana kaummu menghalau kamu satu hari nanti. Maka Nabi SAW berkata: Adakah mereka akan mengeluarkanku? Waraqah berkata: Ya. Tidak ada seorang pun yang pernah mengalami sepertimana kamu. Jika aku sempat, maka aku akan bantu kamu semaksimum mungkin…” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Dengan penjelasan tersebut, ketakutan Rasulullah SAW sudah tidak lagi seperti awal. Baginda menjadi bersemangat untuk menggalas amanah yang diterima. Bagi meneladani perlakuan ini, seorang Muslim boleh mendapatkan pandangan orang berkemahiran. Tujuannya adalah untuk menjelaskan keadaan yang dialami dan mendapatkan semangat.
Justeru, dalam menghadapi kecelaruan perasaan ketika ini, seorang Muslim boleh meneladani tiga langkah tersebut. Dengan mencari perkara yang mententeramkan, mengakui perasaan dan berbicara tentangnya serta merujuk kepada pakar yang selayaknya, perasaan takut, gundah, resah, bimbang dan buntu akan mampu ditangani dengan baik.
Disediakan oleh,
Dr. Nurul Badriyah Ali,
Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Johor.