13 Tips Ke PBAKL Untuk Pemula

9

PBAKL (Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur) akan menemui kita pada 29 Mac hingga 7 April 2019. Debaran makin terasa. Anda dah sediakan duit? Aku tengok dalam grup buku di Facebook, bersepah-sepah kolektor atau pembaca buku giat menjual buku untuk PBAKL tahun ni. Aku macam biasa, tiap-tiap tahun akan kumpul duit bermula bulan Januari dan istiqamah sehingga PBAKL berlangsung, dan bila sampai ke sana, “shut up and take my money”.

Tahun lepas, ada khabar angin mengatakan bahawa PBAKL akan berlangsung di MAEPS, Serdang, tempat berlangsungnya PBAKL 2016. Khabar angin ini berleluasa pada selepas PRU14 tempoh hari, atas dasar PWTC hendak dinaiktarafkan. Dan khabar angin itu berhenti apabila penghujung tahun 2018, pihak penganjur dan penerbitan buku telah mengesahkan PBAKL2019 akan berlangsung di PWTC. Dan berita ini amat menggembirakan aku kerana saban tahun di PBAKL aku tidak ada masalah besar untuk ke sana.

Pada tahun ini, PBAKL akan dibuka dari 10 pagi sehingga 9 malam. Kenapa aku cakap benda remeh ni? Mungkin ada yang tak perasan; saban tahun PBAKL hanya beroperasi 10 pagi hingga 9 malam pada hari Jumaat, Sabtu, Ahad dan hari cuti umum, dan apabila hari Isnin-Khamis, waktu operasi adalah 10 pagi hingga 7 malam. Tetapi tahun ini, setiap hari selama 10 hari, kita akan dapat menikmati 11 jam di PBAKL.

Tahun ini juga aku tak tahu la mungkin ada yang tak cakna, PBAKL diawalkan sebulan dari tarikh ‘lagenda’, tarikh yang mana kau boleh agak setiap tahun. Aku beranggapan bahawa tarikh ini diawalkan sebulan kerana pada awal bulan Mei nanti, kita akan menyambut Ramadan. Mungkin pihak penganjur tak nak persiapan kita untuk menyambut bulan suci Ramadan tahun ini terganggu.

Setiap tahun, dari 2014 aku berkunjung ke PBAKL tanpa kenal erti penat lelah, pihak penganjur akan menyediakan beg plastik rasmi untuk dijual kepada reruai dan apabila kita membeli buku, plastik tersebutlah akan digunakan. Tahun ini, penganjur membuat satu kelainan, di mana tak ada beg plastik disediakan. Maksudnya, sama ada reruai menyediakan plastik mereka sendiri, atau pengunjung membawa beg plastik mereka sendiri. Dengan rasa rendah hati, aku mengesyorkan kalian pada tahun ini, bawalah beg dari rumah kalian sendiri. Sama ada beg galas, atau beg tarik, ‘luggage’ atau beg plastik itu sendiri. Tapi aku tak sarankan beg plastik digunakan dengan meluas walaupun jenis yang biodegradable sekalipun. Paling tidak beg Eco RM2 yang semacam beg IKEA tu. Aku harap, dengan langkah kecil ini, kita dapat sama-sama mengurangkan kadar penggunaan plastik dan membaik pulih alam sekitar.

Tahun-tahun lepas, bila aku menulis untuk PBAKL, ada beberapa tips dan pesanan. Tahun ini aku cuba menulis dengan lebih berhemah dan aku akan kumpulkan beberapa perkara dalam satu tulisan ini. Sebabnya tahun-tahun lepas penulisan untuk tips ini berterabur dan tidak begitu tersusun.

1) Jika kau masuk ke dalam PWTC mengikut pintu utama, atau pintu bersebelahan hotel Pacific, atau pintu bersebelahan CIMB, kau akan berada di tingkat dua, bukan ground floor, bukan tingkat satu. Perkara ini aku sedar apabila aku bertugas sebagai Duta Buku PBAKL pada tahun 2017. Boleh dikatakan ramai pengunjung yang bertanyakan kami mengenai reruai, tetapi mereka tersilap baca peta. Mereka sangka di main stage tersebut adalah tingkat satu atau ground floor. Jika ada Duta Buku untuk tahun ini membaca artikel ini, minta beritahu pengunjung yang bertanyakan kepada kamu, mereka berada di tingkat berapa sekarang ini. Sebab tu nama dewan tu penting, terutama Dewan Tun Razak 3 (TR3) dan Dewan Tun Razak 4 (TR4) masing-masing berada di tingkat 3 dan 4.

Bersama A Muziru Idham dan buku puisi beliau

2) ATM ini yang boleh nampak sebelah Riverside Restaurant dalam PWTC itu. saban tahun aku kunjungi PBAKL, setiap masa ramai yang beratur di ATM tu. Tahun ni 2019, aku yakin dan percaya, dah banyak reruai yang guna terminal untuk bayar melalui debit/kredit kad. Ataupun paling kurang mereka berdaftar dengan e-wallet. Kalau kalian nak cari juga ATM, banyak kali dah aku pesan, ada bank CIMB dalam PWTC. Ya, bank, bukan ATM. Pergilah ke sana, anda mungkin rugi RM1, tapi tak rugi masa.

3) Berkenaan makanan. Dalam tu ada kedai serbaneka. Jangan risau jika anda kelaparan. Tapi agak mahal. Dan ada restoran, Riverside.  Ada juga di tepi setiap tingkat disediakan makanan dengan harga yang mampu milik. Di luar PWTC, selalunya akan ada food truck tersusun terutamanya pintu masuk utama di PWTC. Ada juga kudapan di bawah Hotel Pacific kalau nak. Dan bila anda keluar melalui pintu Pacific, anda jalan terus, ada food court Tepi Sungai. Nak lagi? Keluar PWTC, jalan kaki menggunakan jejantas dan pergilah mentekedarah dalam Sunway Putra Mall. Eloknya kalau susah nak membeli, atau tak mampu, atau yang ada anak-anak kecil, bawalah makanan dari rumah. Bukannya tak boleh makan dalam PWTC tu. Cuma meja maka depan kiosk dalam PWTC tu, tak boleh guna untuk makanan luar. Jadi? Jadi, kalian naik saja eskalator sampai ke tingkat 5, depan Dewan Merdeka tu, boleh berlari-lari lagi luasnya. Situlah aku selalu lepak makan dan baring-baring lepas penat melaburkan duit.

4) Bagi yang beragama Islam, jika anda ingin solat, ada surau di dalam PWTC. bertempat di tingkat 3 bangunan PWTC tersebut. Bagaimana nak pergi? Susah sangat ke sampai aku perlu tulis fasal surau ni? Taklah susah, cuma bila dikatakan pesta ni, ramailah orang, itu saja. Surau tersebut anda boleh masuk melalui tingkat 2 berhadapan CIMB, naik menggunakan tangga, terus jumpa surau. “Tapi saya berada di Tun Razak 4, kena keluar balik dan turun eskalator sampai ke main stage, dan berjalan terus ke hujung, belok kanan, naik tangga balik, kan?”. Tak. Benda ini aku perasan waktu jadi Duta Buku. Aku minta rakan-rakan Duta Buku memberi solusi paling mudah dan paling dekat dengan pengunjung ketika itu. Begini, dalam TR3 & TR4, dalam tu ada eskalator dan tangga. Jika anda berada dalam tu, anda boleh ke bahagian belakang TR3, dan tembus saja ke surau terus. Mudah. Tapi, cerah tak selalunya ada, mungkin mendung mengundang juga. Pintu belakang tu, dengan pengalaman yang aku ada, ada beberapa kali dikunci. Kalau dikunci waktu solat Jumaat, aku fahamlah tak nak beri orang melimpah masuk dari situ, tapi ini bukan solat Jumaat, dikuncinya juga. Aku pun tak tahu sebab, cuma harap tahun ini diperbaiki lagilah. Seterusnya, katakanlah kalian berada di Bilik Mawar, tetapi nak ke surau. Agak jauh perjalanan anda, sesak juga kan. Ada satu lagi solusi. Anda keluar melalui pintu hotel Pacific, dan di bawah hotel tersebut ada surau sebenarnya. Aku pun tak solat dah di surau PWTC sebenarnya kecuali solat Jumaat sebab surat hotel tu mudah nak capai. Ada je surau dalam Sunway Putra, tapi dari pengalaman aku, bila PBAKL, surau mall tu memang sentiasa penuh. Kalau anda berada dalam Sunway Putra, nak solat, terutama solat yang waktunya singkat seperti Maghrib, turunlah ke Pacific, itu lebih mudah bagi aku.

Bersama Faisal Tehrani. Siapa tak kenal dia kan?

5) Setiap kali PBAKL, bab pengangkutan paling aku titik beratkan. Tolonglah jangan semakkan KL dah. Naik LRT, atau gunalah perkhidmatan awam lain. Anda parking di stesen LRT yang lain, dan anda naik LRT menuju ke PWTC, itu lebih baik jika anda memandu kereta. Yang naik LRT tu pula, janganlah berharap pada token. Gunalah Touch & Go (T&G). Ni dah 2019 dah, stop la token-token ni. Bukan apa, pengalaman mendewasakan aku. 2014 aku pergi sana guna token, dekat 45 minit baru dapat beli token. Kau rasa?

6) Kalau ada bayi, atau anak kecil, elakkan daripada membawa mereka berkunjung ke sana. Ya, tu anak kamu, aku faham. Tetapi fikir-fikirlah anak kecil nak bersesak-sesak dalam pesta. Aku waktu jadi Duta Buku pun dah beberapa kali jumpa anak hilang mak dan mak hilang anak. Dan yang lain, jika nampak ada stroller nak guna lift, bertimbang rasalah sikit. Kalian kan kuat, naiklah eskalator. Sebelah lift yang kalian tunggu tu, ada pintu kan? Tu pintu kecemasan sebenarnya. Kalian je tak perasan. Guna la pintu tu naik tangga. Belakang eskalator tu pun ada tangga boleh digunakan.

7) Pesanan ini dikhususkan kepada pengunjung yang ada rakan penulis di sana. Ya aku tahu kalian teruja nak jumpa rakan penulis. Dan ada yang lama kenal, ada yang kenal dalam laman sosial. Nak selfie ke wefie ke terpulang. Cuma pesanan aku, jangan kalian minta buku percuma dari penulis. Belilah buku mereka jika kalian nak buku tersebut. Jika tak berminat, selfie saja dengan penulis sambil pegang buku tu. Sang penulis tak marah pun selalunya kalau kalian tak beli buku mereka. Tapi penulis akan kecil hati jika kalian yang minta buku percuma dari mereka. Tetapi ingat, ada beberapa penulis yang dengan rela hati memberi buku percuma kepada pembaca. Jadi aku ingin berpesan lagi, jangan duk galak sangat dapat buku free. Luahkan tanda terima kasih kepada penulis dengan cara review buku tersebut dan publish di mana-mana yang rasa perlu. Win-win situation ini perlu, untuk penulis rasa dihargai. Review sama ada buku ini bagus atau tidak bagus itu terpulang kepada diri masing-masing, atau terpulang pada perjanjian kalian dengan penulis (jika ada). Tapi aku sendiri, kalau buku tu elok, aku cakap elok, buku tak elok tetap tak elok. Aku pun ada dapat beberapa unit review. Ada yang memang beri untuk diulas dan ada yang beri saja-saja. Yang saja-saja ini aku jadi segan, memang aku akan review juga la tanda terima kasih.

8) Untuk penulis pula. Ya aku tahu kalian dapat royalti. Kalian masyhur di mata pembaca, tapi kalian selain berterima kasih kepada pembaca kerana memiliki naskhah kalian, waktu kalian tandatangan buku tu, berhemahlah sikit. Gunakan ‘pen mahal’. Pen Mahathir tu punyalah cantik dakwatnya. Atau guna saja pen mata tebal macam pen untuk khat. Anda mampu lagi, gunalah fountain pen. Sign tu biar besar dan jelas. Ini tak, dah la tak ada wish, di-sign-nya secoet macam tu je. Down juga aku dapat penulis sign macam ni. Tapi selalunya untuk aku sendiri, aku tengok dulu penulis tu guna pen apa, kalau tak best, aku minta dia guna pen aku, pen yang aku bawa dalam beg 24 jam ni mahal kut.

Bersama penulis-saintis: Zamir dan Musoddiq

9) Kalau anda sebagai pengunjung tidak berniat untuk berjumpa mana-mana penulis, anda disarankan untuk mengunjungi waktu hari bekerja. Ingat, KL sentiasa sesak dengan gerombolan manusia di sana. Jangan tambah lagi kesesakan di KL. Kebanyakan penulis datang waktu cuti. Kalau anda tiada keperluan untuk bertemu penulis, rancanglah perjalanan anda. Aku sendiri tahun ini, akan membuat kunjungan hormat ke PWTC pada hari Ahad-Selasa. Ahad tu nak jumpa rakan penulis. Dan hari bekerja tu nak membeli buku yang aku pasti aku takkan dapat jumpa penulis tersebut atau penulis tu memang tak datang waktu aku datang.

10) Pergi PBAKL ni kau tahu tak kau nak beli apa? Sebab ada dua jenis manusia yang datang, dan kedua-duanya minat buku. Jarang la datang yang tak minat buku ni kecuali dia nak jumpa artis. Pertama, manusia yang dia nak beli buku. Kedua, manusia yang dia tahu nak beli buku apa. Aku sarankan kalian jadi manusia kedua. Bukan apa, PWTC tu bukannya kecil. Aku yang dari dulu bergelumang dari 2014 sehingga sekarang di PBAKL, dan siap bertugas kat sana 10 hari sebagai Duta Buku ini pun boleh sesat lagi dalam tu. Rancanglah pembelian anda. Pastikan anda tahu anda nak beli buku apa dan di mana buku tu berada. Kajilah serba sedikit layout PBAKL dan PWTC. Take your time. Sebenarnya layout PBAKL telah di-centralize-kan. Benda ni yang banyak kali berkunjung ke sana mungkin perasan. Aku malas nak tulis satu-satu fasal benda ni nanti jadi panjang, kau pergilah melawat laman sesawang KLIBF, layout dah keluar dah pun. Cuma apa yang penting, kalau kalian tak nak tahu pun di mana dewan tersebut, at least kalian perlu tahu nombor reruai tersebut. sebab setiap initial tu ada maksudnya. Contohnya initial L adalah di Legar Putra, bilik Mawar bermula dengan M, Tun Dr. Ismail (TDI) bermula D dan G. Tun Hussein Onn (THO) bermula dengan H. TR3 dan TR4 masing-masing initial 3 dan 4.

11) Kalau DuBook Press cakap “customer is always wrong”, tapi di PBAKL, gunalah tips ini sedikit sebanyak. Iaitu tekan penerbit sehingga kita dapat harga yang puas hati. Selalunya kalau harga kombo semacam Fixi RM50 untuk 3 buah tu susah, yang senang jenis beri diskaun per buku. Mintalah dengan kata-kata manismu. Gunakan kuasa sebagai ‘harga student’ atau ‘harga staff’. Ini kalau penerbit baca tulisan aku ni, mahu kena maki aku ni. Hahaha. Ada yang jenis mix and match macam Fixi contohnya, jangan segan-segan tanya orang sekeliling nak combine sekali tak dengan kalian. Selalunya aku buat tak ada la masalah. Mereka pun suka, tak la membazir duit. Sebenarnya kalau kalian pergi hari terakhir, dan yang dah nak hampir-hampir tutup tu, masa tu la nak main harga. Pandai-pandai kalianlah nak hidup.

12) Jika ada yang teringin nak ke PBAKL, tapi tak kesampaian, jangan risau. Abad ini, makin ramai personal shopper di sana nanti. Kalian layari saja Facebook Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, nescaya kalian akan jumpa post dari PBAKL sendiri untuk promosikan personal shopper yang ada di sana. Hubungi saja, dan sediakan duit. Dan yang akan datang, tetapi nak beli buku limited edition, contoh Fixi yang hardcover tu, boleh juga minta personal shopper tu usahakan. Dan bila kalian dan sampai saja, tetapkan saja masa kalian jumpa personal shopper tersebut. Tak perlu dah bersesak-sesak merebut buku tu.

Bersama Mat Gorn

13) Katakanlah kalian dah berhabis duit banyak dah ni, kiri kanan duk pegang beg buku, ada yang dengan troli dengan luggage. Nak bawak kehulu-kehilir ke tu? 2017 dan 2018 aku perasan penganjur ada menyediakan lokar. 2017 rasanya di tingkat 5 lokar tersebut, dan 2018 di Bilik Pulau Pinang. Dengan bayaran hanya RM5 kau boleh letak dan tambah barang kau sesuka hati. 2017 aku nampak memang ada budak-budak usung plakat untuk apps telefon pintar KLBookFair, dan dalam apps tu ada fungsi lokar tersebut. 2018 aku tak perasan mana-mana signboard atau plakat untuk promosi apps dan lokar. Apps ni berguna kalau kalian malas nak cari satu persatu dalam laman sosial penerbit buku. Atau malas nak tengok board layout tu lama-lama. Jadinya apps ni sangat membantu, anda search saja nama pempamer, akan diberitahu ada di mana pempamer tersebut. Senang bukan? Tapi tahun ini tak update lagi apps tu, mungkin dalam masa terdekat ini mereka akan update.

Rasanya ini sajalah warkah aku untuk pra-PBAKL tahun ini. Moga yang mengenali diriku kalau terserempak di PWTC nanti, tegurlah. Kalau kau bernasib baik dan perempuan, aku belanja minum kopi di belakang pentas utama tu. kalau kau tak bernasib baik, dan kau seorang lelaki, kita selfie je la ye, aku sibuk.

Kita doakan, dan kita raikan PBAKL kali ini dengan ilmu dan buku. Sahutlah seruan Menteri Pendidikan kita, dengan #MalaysiaMembaca.

Terima kasih. Jumpa di sana!

Oleh: Naim AlKalantani

Share on facebook
Facebook
Share on google
Google+
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Share on pinterest
Pinterest

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *