Ibu merupakan seorang insan yang paling hebat di dunia kerana melahirkan anak-anak keluar dari dalam rahim mereka. Tanpanya, kita mungkin akan kehilangan kasih sayang dan pelukan hangat daripada seorang ibu yang membesarkan kita. Benarlah, bahawa tiada nilai wang ringgit yang mampu membayar segala perjuangan mereka bagi menghargai jasa-jasa dan pengorbanan. Kasih sayang seorang ibu tidak mungkin akan dapat dihitung dan dijual beli.
Darjat seorang ibu itu justeru disebutkan dalam Islam bagi membuktikan bahawa ibu merupakan insan yang wajib ditaati perintahnya oleh semua anak-anak yang soleh. Oleh kerana itu, kita akan mendapati bahawa dalam hadis Nabi SAW ada menyebutkan perkataan ‘Ibu’ diulang sebanyak tiga kali berbanding ‘ayah’ untuk ditaati terlebih dahulu suruhannya.
Mengapa? Kerana ibulah yang melahirkan dan menyusukan serta selayaknya diangkat martabatnya. Kerana ibulah yang menanggung kepayahan mengandungkan anak selama sembilan bulan. Kerana ibulah yang harus bertarung dengan maut dan ajal untuk melahirkan anak. Maka, anak-anak perlu tahu bagaimana seharusnya mengenang ibu yang sebenar-benarnya.
Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata, “Ada seseorang yang datang kepada Rasulullah ﷺ seraya berkata, “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak kuberikan bakti kepadanya?” Baginda menjawab,
“Ibumu.” Ia bertanya lagi, “Kemudian siapa?” Baginda menjawab,
“Ibumu.” Ia bertanya lagi, “Kemudian siapa lagi?” Baginda menjawab,
“Ibumu.” Ia bertanya lagi, “Kemudian siapa?” Baginda menjawab, “Kemudian ayahmu.” (Sāhīh al-Bukhari no.5971 dan Muslim no.2548)
Pendapat para ulama yakni Imam Nawawi menyatakan, “Sebab didahulukan seorang ibu (dalam berbuat baik) adalah kerana banyaknya kepenatan yang ditanggung oleh seorang ibu disebabkan anaknya. Demikian juga kerana sifat kasih dan sayangnya ibu kepada anak, serta berterusannya kepayahan yang ditanggungnya sepanjang proses mengandungkan anak, kemudian melahirkannya, kemudian menyusukannya, kemudian mendidik dan membesarkan anak serta sakit yang ditanggungnya sepanjang proses tersebut.” (Rujuk Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (16/79). Dipetik dalam https://www.muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3281-al-kafi-1203-mengapakah-didahulukan-berbuat-baik-kepada-ibu-sebanyak-tiga-kali )
Di antara usaha dan cara bagi anak-anak menghargai ibu mereka ketika masih hidup adalah,
- Berlemah lembut dan berbicara yang baik
- Menghormatinya sebagai ibu untuk ditaat
- Menggembirakan hati
- Tidak membuatnya berkecil hati
- Mendoakan kebaikan dan kesejahteraan
- Meluangkan masa bersama
- Menjaga kebajikan ibu yang uzur
- Membantunya menguruskan kerja-kerja rumah
- Memberi hadiah yang disukai
- Menyayangi dan mengutamakannya
Hari ibu adalah hari setiap hari yang perlu diraikan oleh semua untuk bonda tercinta. Setiap hari, setiap detik, setiap minit, kita wajib mematuhi suruhan daripada ibu tersayang selagi ia tidak melanggar syariat dan mengajar hal-hal kemungkaran. Selagi masih ada peluang, ceriakanlah dan penuhilah permintaan ibu kita sebelum semuanya terlambat.
Rajinkan bertanya khabar bagi yang berada di kejauhan agar hubungan kasih sayang tetap bertambah utuh dan bertaut meski jarak memisahkan.
Di antara doa yang perlu diminta oleh seorang anak untuk ibu dan ayahnya adalah memohon keampunan agar Allah Tāala menghapuskan dosa-dosa mereka,
رَبَّنَا ٱغْفِرْ لِى وَلِوَٰلِدَىَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ ٱلْحِسَابُ
“Ya Tuhan kami, beri ampunlah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat)”. (Surah Ibrahim:41)
Firman Allah SWT,
وَوَصَّيْنَا ٱلْإِنسَٰنَ بِوَٰلِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُۥ وَهْنًا عَلَىٰ وَهْنٍ وَفِصَٰلُهُۥ فِى عَامَيْنِ أَنِ ٱشْكُرْ لِى وَلِوَٰلِدَيْكَ إِلَىَّ ٱلْمَصِيرُ
“Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapakmu, hanya kepada-Kulah kembalimu.” (Surah Luqman: 14)
Disediakan oleh: Syuhara Suriati